NEW DELHI: Sebuah pesawat pengangkut tentera India terhempas pada Sabtu ketika mendarat di sebuah pangkalan tentera udara di kawasan terpencil timur laut negara itu, menurut kenyataan tentera.
Tentera Udara India memaklumkan, pesawat Antonov An-32 buatan Russia itu ‘mengalami kemalangan ketika mendarat di Jorhat, sebuah bandar di negeri Assam.
Kenyataan itu tidak memberikan butiran mengenai jumlah mangsa korban dan tidak menyatakan berapa orang berada di dalam pesawat ketika kejadian.
“Mahkamah siasatan akan ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kemalangan,” menurut kenyataan itu.
Saluran berita NDTV menyiarkan imej di lokasi kejadian yang menunjukkan kepulan asap hitam tebal serta pesawat yang kelihatan hancur dan pecah.
An-32, sebuah pesawat turboprop enjin berkembar, direka khas untuk beroperasi dengan baik di altitud tinggi dan dalam keadaan cuaca ekstrem.
Tentera Udara India mengendalikan kira-kira 100 pesawat jenis itu untuk penghantaran bekalan ketenteraan dan bantuan awam di kawasan pergunungan paling terpencil di negara itu.
Kejadian nahas besar terakhir melibatkan pesawat itu berlaku pada 2019 di negeri Arunachal Pradesh berhampiran sempadan China, apabila 13 orang terbunuh.- AFP








