PETALING JAYA: Sebahagian binaan bangunan yang menjadi penempatan komuniti Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat telah dirobohkan dan proses tersebut dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan berkata, beliau dimaklumkan mengenai kerja perobohan itu oleh Ketua Kampung Kampung Baharu Sungai Makau sebelum turun meninjau lokasi berkenaan hari ini.
Katanya, tempoh tersebut bukan ditetapkan oleh mana-mana pihak berkuasa sebaliknya dimohon sendiri oleh pemilik tanah hasil perbincangan dengan ketua kampung.
Menurut beliau, kerja-kerja merobohkan struktur yang dibina tanpa kelulusan itu telah pun dimulakan oleh pemilik tanah.
“Saya dimaklumkan pemilik tanah memerlukan masa dua minggu untuk merobohkan struktur setingkat di bahagian belakang dan bukannya bangunan yang dikatakan rumah pangsa atau flat tiga tingkat yang tular sebelum ini.
“Tempoh itu diminta sendiri oleh pemilik tanah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan itu dibuat selepas Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat mengeluarkan Notis 7A berhubung isu berkenaan.
Katanya, sekiranya tidak dipatuhi, Notis 7B boleh dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang.
“Berdasarkan maklumat diterima, kawasan di bahagian belakang yang sedang dirobohkan itu membabitkan tanah bercampur antara hak milik persendirian dan rizab kerajaan manakala bangunan flat tiga tingkat berada di atas tanah hak milik,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa proses perobohan perlu dilaksanakan dengan mengambil kira aspek keselamatan pekerja dan orang awam selain pelupusan sisa binaan mengikut prosedur ditetapkan.
Katanya, pihaknya juga telah memaklumkan kepada agensi berkaitan untuk memantau kerja-kerja perobohan tersebut.
Hasil tinjauan di lokasi, beliau berkata, sebahagian kerja perobohan telah pun dimulakan oleh pemilik tanah sebagai usaha mematuhi arahan pihak berkuasa dan menyelesaikan isu berkenaan.-UTUSAN










