PUTRAJAYA: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan seorang mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Lebuh Wawasan berhampiran SPRM, Presint 7, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 5.51 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Putrajaya mengerahkan sebuah jentera LFRT bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 ke lokasi kejadian membabitkan kemalangan dua buah kenderaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM W.P. Putrajaya Haziq Hazmi berkata, pihaknya mengambil masa dua minit mengeluarkan mangsa lelaki yang tersepit.
Beliau berkata, hasil penilaian awal mendapati seorang lelaki tersepit di dalam kenderaan jenis Honda City itu manakala seorang wanita mengalami kecederaan ringan.
“Kami terpaksa menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Tindakan segera anggota di lokasi berjaya memastikan mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, selepas dikeluarkan dari kenderaan, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Putrajaya.
Jelasnya lagi, operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.45 pagi dan kes seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.-UTUSAN










