KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan supaya tidak sekadar menjadi pengguna teknologi yang dibangunkan pihak lain sebaliknya menjadi pemikir, pencipta dan penggerak hala tuju inovasi tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, amalan Islam khususnya di rantau ASEAN yang sederhana dengan budaya kesantunan dan kepelbagaian masyarakat, mampu menawarkan model teknologi beretika tanpa menghakis nilai dan identiti umat Islam.
Bagaimanapun, katanya, teknologi beretika tidak lahir daripada sistem semata-mata namun wujud daripada insan yang memiliki ilmu, nilai dan hikmah.
“Sebab itu pembangunan negara tidak boleh hanya tertumpu kepada pertumbuhan fizikal dan ekonomi. Asas yang lebih penting ialah pembangunan insan.
“Kita mahu melahirkan generasi yang berilmu, berprinsip, berkemahiran dan mampu membuat pertimbangan yang baik,” katanya berucap merasmikan Persidangan Ulama Asia Tenggara Ke-4, di sini, hari ini.
Beliau berkata, cabaran dihadapi umat Islam pada masa kini adalah maklumat palsu bergerak merentasi negara dan fahaman ekstreme menular melalui ruang digital.
Katanya, ketidakseimbangan ekonomi memberi tekanan kepada masyarakat, kemanusiaan, termasuk penderitaan khususnya rakyat Palestin, terus menguji nurani umat Islam dan masyarakat dunia.
“Dalam situasi ini, sarjana Muslim di rantau ini mesti membina kesepakatan dalam isu-isu utama iaitu mempertahankan keamanan, memelihara keharmonian sosial, membangunkan teknologi beretika, mengangkat ilmu sebagai asas dasar serta menegakkan Islam sebagai rahmatan lil alamin.
“Namun kesepakatan mesti diterjemahkan kepada tindakan dan bukan sekadar kata-kata,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap Persidangan Ulama Asia Tenggara kali ini dapat membuka jalan kepada pembentukan rangkaian tetap ulama di rantau ini melibatkan penerbitan kertas dasar bersama, penyelidikan rentas sempadan, pertukaran akademik dan platform dialog berkala antara sarjana serta pembuat dasar.
Katanya, ia merupakan agenda Diplomasi Intelektual yang perlu dimajukan bukan sekadar berbicara tentang teori sebaliknya berani membantu menyelesaikan masalah umat.
“Diplomasi yang merungkai kekeliruan, meredakan ketegangan, menghubungkan ilmu dengan dasar serta memimpin masa depan dengan hujah yang matang, adab yang tinggi dan maqasid yang jelas.
“Jika agenda Diplomasi Intelektual ini dapat direalisasikan, saya percaya Asia Tenggara mampu menawarkan model Islam yang berilmu, bertamadun dan relevan dengan cabaran zaman.
“Model yang tidak ekstrem, tidak terpisah daripada realiti dan menerima kemajuan sambil memelihara nilai kemanusiaan,” katanya.-UTUSAN










