KOTA BHARU: Rezal Zambery Yahya akur Kelantan FC diikat 1-1 oleh pasukan jiran, Kelantan United dalam aksi penutup Liga Perdana kelmarin, sekali gus menamatkan kempen selaku naib juara.
Kata pengendali The Red Warriors (TRW) itu, tidak banyak yang boleh dilakukan apabila beraksi atas permukaan padang seperti ‘bendang’ gara-gara hujan lebat di Stadium Sultan Muhammad IV.
“Dalam keadaan begini pemain masih menunjukkan semangat juang tinggi dan mendahului pada separuh masa pertama. Mungkin sedikit kesilapan pada separuh masa kedua menghukum kita.
“Bagaimanapun kedua-dua pasukan mengutip satu mata keputusan yang adil.
“Saya mengakui keadaan padang becak dengan pergerakan bola tersekat-sekat menjejaskan permainan Kelantan FC kerana perancangan awal tidak dapat diguna pakai,” katanya.

Kata Rezal, barisan pemain Kelantan FC akan diberi cuti rehat sebelum kembali ke padang latihan untuk membuat persediaan menghadapi saingan Piala Malaysia bulan ini.
Pada perlawanan itu, Kelantan FC yang beraksi sebagai pelawat membuka tirai pada minit ke-36 menerusi peledak sensasi Nur Shamil Abd. Ghani yang tenang menyempurnakan sepakan penalti.
Gol penyamaan yang ditunggu tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-54 melalui jaringan Mohamad Amirul Shafik Che Soh menghukum kealpaan barisan pertahanan TRW untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.