PARIS: Sadio Mane mengakui, dia merasa kekok untuk bercakap mengenai kerja amal yang dilakukan sejurus selepas menerima Trofi Socrates dalam anugerah Ballon d’Or pagi tadi, sebagai penghormatan untuk semua usaha kebajikannya.
Selepas meraih pendapatan lumayan hasil karier cemerlangnya di Eropah, Mane mengembalikan kemewahan yang diraih dengan membantu masyarakat tempatan di negara kelahirannya, Senegal.
Nama Mane, 30, mula melonjak selepas menyertai Liverpool dari Southampton pada 2016 sebelum mengembangkan sayap ke Jerman dengan menyertai Bayern Munich, musim panas lalu.
Kekayaan Mane sebahagiannya digunakan untuk membina hospital awam dan sekolah, selain membantu masyarakat setempat di perkampungannya di Bambali.
Dia turut menderma kepada Jawatankuasa Kebangsaan Senegal yang menangani pandemik Covid-19 dan semua kerja amal yang dilakukan itu disebut dalam anugerah Ballon d’Or tetapi Mane tetap merendah diri.
“Ada kalanya saya berasa malu apabila usaha amal saya diperkatakan tetapi saya sangat gembira dapat membantu masyarakat dan menjadikan kehidupan mereka lebih baik,” katanya ketika berucap di atas pentas.
Sementara itu, penganjur anugerah, France Football dalam satu kenyataan berkata: “Trofi Socrates mengenal pasti inisiatif sosial terbaik oleh juara yang komited”.
Kerja amal yang sering dilakukan Mane mula mencuri tumpuan sejak dia berada di Liverpool.
Pernah penyokong mendapati dia memiliki telefon bimbit iPhone yang sudah retak sehingga ada yang mempersoalkan kenapa pemain dengan pendapatan jutaan ringgit setahun itu tidak menggantikannya atau membeli yang baharu.
“Mengapa saya perlukan 10 Ferrari, 20 jam berlian atau dua kapal terbang?
“Apa yang boleh dilakukannya kepada saya dan dunia? Saya pernah kelaparan dan bekerja di ladang. Saya berdepan saat sukar dan bermain bola sepak tanpa kasut.
“Saya tidak berpelajaran dan banyak lagi tetapi hari ini dengan apa yang saya dapat menerusi bola sepak, saya boleh membantu masyarakat saya,” jawab Mane.
Mane membantu Liverpool menjuarai Piala Liga dan Piala FA musim lalu, malah Reds hampir memenangi gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
Dia semakin menyesuaikan diri di Bayern dengan meledak sembilan gol setakat ini, malah menduduki tempat kedua di belakang Karim Benzema dalam anugerah Ballon d’Or. – AGENSI