fbpx

Hakim Danish terjatuh, gagal tamat perlumbaan

HAKIM DANISH sewaktu beraksi dalam perlumbaan 1 Asia Talent Cup di Litar Antarabangsa Sepang, Sepang, hari ini. - IHSAN ZK Racing

SEPANG: Nasib malang menimpa Muhammad Hakim Danish Ramli apabila pelumba remaja negara itu gagal mengawal jenteranya sehingga terjatuh yang sekali gus memusnahkan harapannya mengungguli perlumbaan 1 Asia Talent Cup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dekat sini, hari ini.

Pelumba berusia 15 tahun itu yang memulakan saingan di petak keempat, sedang mendahului perlumbaan, tetapi ketika aksi berbaki lapan pusingan dia terjatuh sehingga memaksa marshall perlumbaan mengusungnya keluar dari trek.

Hakim Danish merupakan pendahulu senarai pelumba Asia Talent Cup setelah mengumpul 126 mata keseluruhan.

Dalam satu kenyataannya kepada media, Hakim Danish berkata, kegagalannya mengawal jentera menyebabkan dia terjatuh.

“Pada ketika itu, saya sedang mendahului perlumbaan, saya berjaya menjarakkan kedudukan dengan pelumba di belakang, tetapi malangnya ketika berada selesa di depan saya hilang kawalan lalu terjatuh,” katanya.

Ekoran insiden kemalangan menimpanya pelumba remaja itu terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan SIC bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.

“Saya telah menjalani pemeriksaan perubatan dan syukur, saya dibenarkan berlumba, esok.

“Saya akan berikan yang terbaik, esok. Saya akan cuba atasi masalah jentera saya menjelang perlumbaan kedua dan doakan yang terbaik untuk saya,” ujarnya.

Kemalangan menimpa pelumba muda negara itu telah membuka laluan kepada pelumba Australia, Carter Thompson menjuarai perlumbaan tersebut dengan catatan masa 30 minit 21.058 saat (s), manakala di tempat kedua dimenangi oleh Rei Wakamatsu dari Jepun (+0.195s) dan rakan sepasukannya, Gun Mie (+0.256s) di kedudukan ketiga. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN