MANCHESTER: Erling Haaland meledak gol dalam perlawanan ke-10 berturut-turut dan membawa Manchester City merampas takhta Liga Perdana Inggeris selepas membenam Southampton 4-0, sebentar tadi.
Setelah Joao Cancelo, Phil Foden dan Riyad Mahrez meletakkan The Citizens mendahului 3-0, giliran Haaland tiba pada minit ke-65.
Penyerang Norway itu kini telah meledak 20 gol hanya dalam 13 penampilan bersama City (semua pertandingan).
Cancelo meletakkan City di depan pada ke-20 minit sebelum Phil Foden melambung bola menumpaskan penjaga gol lawan, Gavin Bazunu untuk gol kedua tuan rumah di minit ke-32.
Empat minit selepas babak kedua bersambung, Riyad Mahrez menyudahkan hantaran lintang Rodri bagi melebarkan kedudukan 3-0.
HAALAND! HAALAND! HAALAND!
🔵 4-0 😇 #ManCity pic.twitter.com/K529jFrdFc
— Manchester City (@ManCity) October 8, 2022
Selepas terlepas beberapa peluang keemasan, Haaland akhirnya merobek gawang lawan dengan menyempurnakan hantaran lintang Cancelo.
Kemenangan itu bermakna City naik ke tangga teratas liga dengan dua mata mengatasi Arsenal, yang akan merampas kembali teraju jika mengalahkan Liverpool esok.
Dalam satu lagi perlawanan tumpuan, jaringan Kai Havertz, Christian Pulisic dan pemain gantian, Armando Broja membantu Chelsea menumpaskan Wolverhampton 3-0 di Stamford Bridge. – AGENSI