BODO, Norway: Arsenal meneruskan permulaan sempurna dalam Liga Europa apabila jaringan Bukayo Saka membantu mereka menumpaskan Bodo/Glimt 1-0 di tempat lawan, awal pagi tadi.
Jaringan Saka pada minit ke-24 memberi kemenangan ketiga buat Gunners, sekali gus membolehkan mereka mengungguli Kumpulan A.
“Saya sangat gembira menang ke atas pasukan yang telah memenangi 14 perlawanan terakhir mereka di sini (Stadium Aspmyra).
“Kami memang menjangkakan malam yang sukar di sini dan membuat banyak perubahan sekali lagi tetapi saya gembira dapat mencari jalan untuk menang.
“Lawan sangat pantas dan sering melakukan hantaran tidak dijangka.
“Perlawanan amat laju dan pemain mula melakukan beberapa kesilapan. Ada ketika mereka hilang tumpuan dan tewas dalam perebutan bola,” kata jurulatih Arsenal, Mikel Arteta kepada BT Sport.
Arsenal kini memegang kelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, PSV Eindhoven yang membelasah FC Zurich 5-0. – AGENSI