Mengapa denim Jepun mahal?

Mengapa denim Jepun mahal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN hanya 10 helai jeans dihasilkan dalam sehari, ia mungkin bukan satu pencapaian yang membanggakan terutama bagi jenama terkenal di peringkat global.

Namun, bagi mereka yang betul-betul meminati denim Jepun, tentunya tahu kesenian dan kecantikan di sebalik pakaian itu.

Apatah lagi dengan dengan harganya yang mahal iaitu antara RM1,000 sehingga RM4,000 sepasang sudah pasti membuatkan ramai tertanya-tanya mengapa kebanyakan jeans dari negara matahari terbit itu mengatasi kebanyakan jenama popular lain.

Pengasas jenama Pure Blue Jeans (PBJ), Kenichi Iwaya berkata, denim Jepun berkualiti premium kerana dihasilkan dengan ketelitian dan ketukangan tinggi.

“Justeru, tidak hairanlah pengeluarannya sangat terhad apatah lagi, kami menggunakan mesin lama.

“Sehelai seluar memerlukan 2.7 meter kain dan mesin tersebut hanya boleh menjahit 30 meter kain bersamaan dengan 10 helai seluar,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, penggunaan mesin tenun lama atau shuttle looms itu menjadi antara faktor utama yang membezakan denim Jepun dengan produk moden.

Mesin ini menghasilkan kain yang lebih padat, tebal serta mempunyai kemasan tepi kain atau selvedge yang kemas dan tahan lama.

Dia yang beberapa kali berkunjung ke negara ini berkata, teknik celupan menggunakan indigo asli turut memainkan peranan penting dalam menyerlahkan keunikan jeans Jepun.

Kenichi Iwaya (dua dari kiri) menunjukkan koleksi terbaharu jenama Pure Blue Jeans (PBJ).

Katanya, warna biru yang terhasil bukan sahaja lebih mendalam, malah akan mengalami proses fading (pudar) secara semula jadi mengikut pergerakan dan gaya hidup pemakai.

Ia sekali gus menjadikan setiap helaian jeans seolah-olah hidup dan unik.

“Tekstur kain yang tidak sekata atau slubby juga menjadi identiti tersendiri bagi denim Jepun.

“Ciri ini memberikan rupa vintaj dan klasik yang sukar dihasilkan melalui proses moden, lantas meningkatkan nilai estetika pakaian tersebut,” ujarnya.

Antara jenama jeans Jepun terkenal di negara ini ialah Samurai, Momotaro, Iron Heart dan Denime, yang memiliki standard tinggi serta identiti tersendiri.

Namun, di sebalik jumlah pengeluaran yang kecil, denim Jepun membuktikan yang nilai sebenar bukan terletak pada kuantiti, tetapi kualiti, warisan dan seni yang diabadikan dalam setiap helaian.

Komuniti peminat semakin meluas

Pengasas bersama Denim Monger, Hanif Mohamad Tamim berkata, pemakaian jeans ini sebenarnya turut melambangkan gaya hidup tersendiri dan mempunyai komuniti tersendiri.

Katanya, ia semakin berkembang selepas pelbagai penganjuran pelbagai aktiviti termasuk pemakaian jeans.

“Tahun lepas, hampir 1,000 peserta dari 80 negara mengambil bahagian. Di peringkat Asia, komuniti kita sebenarnya agak kuat, walaupun berdepan cabaran seperti faktor cuaca dan latar belakang pekerjaan pemakai,” jelasnya.

Mengulas mengenai jenama jeans Jepun yang popular, katanya, PBJ yang lebih moden dan menumpukan kepada inovasi fabrik antara yang diminati rakyat di negara ini.

Katanya, jenama seperti Iron Heart pula lebih menonjol dari segi perincian (detailing), manakala potongan klasik banyak dipengaruhi oleh jenama ikonik Amerika Syarikat seperti Levi’s, Lee dan Wrangler.

Beliau turut menjelaskan mengenai gelombang kedua jenama denim Jepun sekitar era 1990-an yang dikenali sebagai ‘Osaka 5’, terdiri daripada Evisu, Warehouse, Full Count, Studio D’Artisan dan Denime.

Miliki lebih 40 jeans

Tertarik dengan keunikan denim Jepun, pengumpul Abdul Latif Ibrahim sanggup berbelanja besar untuk memiliki lebih 40 pasang jeans.

Dianggarkan nilai koleksinya itu hampir setara dengan harga sebuah kereta tempatan.

Katanya, minat itu timbul apabila ia dijadikan sebagai uniform kerja, sejak 2024.

Dalam masa sama, dia menyertai pertandingan denim antarabangsa pada 2024 dan muncul pemenang tempat ketiga.

“Biasanya harga bergantung kepada berat kain atau ounce (oz), kebanyakan seluar saya tidak melebihi RM2,000 sehelai, namun ia bergantung kepada kualiti,” jelasnya.

Empat bulan tidak cuci jeans

Seorang lagi pengumpul, Mohamad Azizi Azman Syah berkata, penghasilan fading yang cantik pada seluar jeans menuntut disiplin dan kesabaran tinggi, malah melibatkan rutin pemakaian tersendiri.

“Saya memang pakai jeans secara konsisten demi mendapatkan fading, tetapi ia tetap bergantung kepada individu.

“Malah, ada kawan-kawan lain yang tidak basuh sehingga empat bulan, namun, saya tetap jaga dan akan cuci sekurang-kurangnya sebulan sekali,” jelasnya.

Menurutnya, dalam pertandingan denim yang disertainya sebelum ini, jumlah cucian juga dihadkan bagi mengekalkan karakter warna indigo pada fabrik.

“Saya hanya cuci sebanyak lapan kali sahaja sepanjang tempoh tersebut.

“Teknik cucian menggunakan air panas untuk mengeluarkan warna indigo yang lebih banyak dan kesan pudar yang cantik,” ujarnya.

Mengulas mengenai koleksi pula, dia memiliki puluhan seluar jeans Jepun daripada pelbagai jenama diikuti empat helai jaket.-Kualiti pembuatan premium menjadikan denim Jepun dijual pada harga sekitar RM1,000 hingga RM4,000 sehelai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN