fbpx

Petronas, Mercedes ‘berjodoh’ hingga 2030

Hamilton (kanan) ketika sesi soal jawab dengan media di KLCC.

KUALA LUMPUR: Peraturan baharu enjin Formula Satu (F1) yang bakal bermula bagi tempoh empat tahun lagi memastikan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Mercedes-AMG melanjutkan kerjasama bermula 2026 hingga 2030.

Peraturan baharu melibatkan enjin jentera F1 bermula musim 2026 nanti bakal menggunakan bahan api yang dihasilkan daripada biofuel.

Justeru, bahan api berasaskan petroleum adalah tidak dibenarkan sama sekali. Oleh itu, Petronas mengambil langkah awal dengan melanjutkan kerjasama bersama pasukan berpangkalan di Brackley, United Kingdom untuk membangunkan bahan api terbaik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, pihaknya berbangga dapat meneruskan kerjasama ini untuk membangunkan bahan api terbaik dalam F1.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik (dua dari kiri) bergambar dengan Hamilton.-UTUSAN/ FARIZ RUSADIO

“Pengalaman dalam satu pasukan sejak sedekad lalu, dan keupayaan teknikal serta kepakaran yang diperoleh daripada gabungan bakat kami, Petronas berharap mampu melakar bab seterusnya dengan tumpuan kepada bahan api mampan termaju untuk Mercedes.

“Bersama-sama dengan rakan kongsi kami, Petronas akan terus membangunkan terutama bersama Fluid Technology Solutions kami menerusi tawaran inovatif,” kata Tengku Muhammad Taufik .

Sementara itu, Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolf teruja dengan kerjasama tersebut yang kini lanjut dua dekad selepas mula jalani kerjasama bersama Petronas sejak 2010.

“Hari ini kami melakukan sesuatu yang agak luar biasa mengumumkan kerjasama yang akan bermula dalam masa empat tahun.

“Jelas ini memberi mesej penting kepada pasukan kami dan Petronas bukan lagi sekadar rakan kongsi, kami adalah keluarga, dan kami akan menjadi satu pasukan untuk beberapa tahun yang akan datang,” kata Toto Wolff semalam.-UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN