Mbappe perlu lebih sokongan

Mbappe perlu lebih sokongan

KLYIAN Mbappe melangkah kecewa selepas Perancis tumpas 2-0 kepada Denmark pada perlawanan Liga Negara-Negara di Stadium Parken, Copenhagen semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN: Pengendali Pe­rancis, Didier Deschamps mempertahankan Kylian Mbappe yang dianggap memerlukan lebih banyak soko­ngan daripada rakan-rakan sepasukan selepas Les Bleus tumbang 2-0 kepada Denmark dalam aksi Liga Negara-Negara semalam.

Mbappe yang meledak gol ketika Perancis menumpaskan Austria 2-0, Khamis lalu beberapa kali menguji penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel tetapi gagal membolosi gawang lawan.

Tuan rumah sebaliknya melakar kemenangan sensasi menerusi jaringan Kasper Dolberg dan voli cantik Andreas Skov Olsen.

“Kylian melakukan banyak perkara bagus. Dia antara segelintir pemain yang beraksi 90 minit dalam tempoh tiga hari.

“Dia tidak boleh me­lakukan segala-galanya sendiri. Seperti mana aksi yang ditunjukkan tiga hari lalu, Kylian bermain baik cuma dia memerlukan lebih sokongan daripada pemain lain,” kata Deschamps.

Kekalahan kepada Denmark menyebabkan Perancis gagal mempertahankan trofi Liga Negara-Negara selepas menamatkan kempen Kumpulan 1 di tangga ketiga dengan lima mata.

Perancis bernasib baik tidak terhumban ke Liga B musim depan selepas Croatia me­numpaskan Austria 3-1 di Vienna untuk muncul juara kumpulan dan membolehkan Les Bleus memiliki kelebihan satu mata ke atas Austria.

Kekalahan di Copenhagen meresahkan penyokong Perancis ketika Piala Dunia kurang dua bulan untuk membuka tirai di Qatar pada 20 November ini, di mana Perancis yang akan bertemu Denmark sekali lagi turun selaku juara bertahan.

Deschamps bagaimanapun menegaskan, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana skuad yang diturunkan semalam bukanlah yang terbaik.

Dia tidak dapat menggunakan Hugo Lloris, Jules Kounde, N’Golo Kante, Paul Pogba, Ousmane Dembele dan Karim Benzema yang disisihkan akibat kecederaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya