JDT turunkan pasukan terkuat jumpa Selangor

JDT turunkan pasukan terkuat jumpa Selangor

PEMAIN JDT menjalani latihan menjelang pertemuan menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Petaling Jaya malam ini. – IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Amaran buat Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membariskan pasukan terbaik dan turun hanya dengan satu misi, membawa pulang tiga mata penuh apabila berdepan Red Giants dalam aksi Liga Super di Petaling Jaya malam ini.

Kemenangan akan membolehkan Harimau Selatan me­ngukuhkan kedudukan pendahulu liga kepada 44 mata, lapan mata meninggalkan pencabar rapat, Sabah yang keciciran mata selepas seri 2-2 menentang Kuala Lumpur City kelmarin.

Berjaya menumpaskan Se­langor juga bermakna JDT menghampiri trofi Liga Super kali kesembilan berturut-turut kerana memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding Sabah.

Berdasarkan prestasi semasa, skuad kendalian Hector Bidoglio itu yang menang lima perlawanan liga berturut-turut mempunyai kelebihan berban­ding Selangor yang kalah dua aksi terakhir mereka.

Rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan juga berpihak kepada juara liga lapan kali itu termasuk menang 5-1 pada pertemuan terakhir di Stadium Sultan Ibrahim, Jun lalu.

Bidoglio pastinya akan membariskan kesebelasan terbaik Harimau Selatan ketika bertemu Selangor FC untuk memastikan hasrat untuk menjarakkan kedudukan di persada liga menjadi kenyataan.

Ini bermakna, JDT akan menurunkan ayam tambatan mereka, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri yang berada pada tahap terbaik mengemudi jentera serangan Harimau Selatan.

“JDT sentiasa membariskan pasukan terkuat bagi setiap perlawanan. Kesebelasan utama itu nanti akan ditentukan selepas sesi latihan terakhir di Selangor.

“Walaupun JDT semakin hampir ke perlawanan akhir Piala FA, itu tidak bermakna kita akan ‘simpan’ pemain pada perlawanan menentang skuad Gergasi Merah,” kata Bidoglio.

“Sudah menjadi resmi JDT, iaitu kita akan memberi tumpuan terhadap perlawanan demi perlawanan bagi membolehkan pasukan menyajikan aksi terbaik,” kata Bidoglio. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN