Kedah kena banyak belajar

Kedah kena banyak belajar

AKSI pemain Kedah (kuning) ketika menentang PSM Makassar dalam Piala AFC di Bali kelmarin. – IHSAN AFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sudah lama tidak bermain di peringkat Asia, Aidil Sharin Sahak mengakui, masih banyak yang perlu dipelajari Kedah Darul Aman (KDA FC) selepas kalah 2-1 kepada wakil Indonesia, PSM Makassar dalam separuh akhir Zon Asean Piala AFC kelmarin.

Pengendali Sang Kenari itu berkata, rezeki tidak memihak kepada pasukannya walaupun mereka sudah berusaha sehabis mungkin untuk menembusi benteng pasukan lawan.

Katanya, sebagai sebuah pasukan yang baru dibentuk dan terdiri daripada ramai pemain muda, beliau memandang positif perlawanan itu yang disifatkan sebagai medan pembelajaran bagi anak-anak buahnya untuk menjadi lebih baik pada masa depan.

“Selepas sekian lama, baru kali inilah kami kembali menyertai Piala AFC. Kami tahu perlawanan ini akan menjadi sangat sukar tetapi anak-anak buah saya telah melakukan yang segala yang terdaya.

“Separuh masa pertama memang tidak menjadi buat kami dan itu mungkin disebabkan kurangnya komunikasi dalam padang. Anda boleh lihat bagaimana gol pertama lawan hadir dengan cukup mudah.

PEMAIN PSM Makassar meraikan kejayaan menumpaskan Kedah.

“Tetapi kami berjaya bangkit pada separuh masa kedua. Walaupun hanya menentang 10 pemain PSM Makassar selepas seorang pemain mereka dilayangkan kad merah pada minit ke-60, namun keadaan menjadi lebih sukar kerana mereka berkampung di kawasan sendiri dan bertahan lebih dalam,” katanya.

Dalam aksi di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali itu, PSM Makassar mendahului 2-0 menerusi Yakob Sayuri pada minit ke-31 dan tandukan Yuran Fernandes pada minit ke-54.

Layangan kad merah terhadap Fernandes selepas itu digunakan sepenuhnya oleh Kedah untuk melancarkan serangan bertali arus, namun hanya satu jaringan menerusi Fayadh Zulkifli dapat dihasilkan pada minit ke-86.

“Rezeki KDA FC dalam Piala AFC tahun ini berakhir di sini tetapi kami tetap positif. Apatah lagi sebelum ini tidak ramai yang menaruh kepercayaan kami akan layak ke separuh akhir.

“Justeru, tiada apa lagi yang boleh saya minta daripada pemain selepas aksi bersungguh-sungguh ditampilkan mereka. Harapnya kami akan kembali kerana pasukan ini memiliki ramai pemain muda dan mereka tentunya mendapat pengajaran berguna daripada kejohanan di peringkat lebih tinggi ini,” kata Aidil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.