WASHINGTON: Sebuah jenama ais krim popular di Amerika Syarikat (AS) ditarik balik dari pasaran di lebih belasan negeri ekoran kebimbangan produk tersebut dicemari serpihan logam tajam yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pengguna.
Syarikat yang berpangkalan di California, Straus Family Creamery mengeluarkan arahan penarikan balik bagi beberapa perisa dan saiz pencuci mulut organik keluarannya berikutan potensi kehadiran bahan asing logam tersebut.
Setakat ini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Bagaimanapun, pihak syarikat menegaskan bahawa tindakan tersebut diambil atas dasar langkah berjaga-jaga yang tinggi selain telah melaksanakan tindakan pembetulan yang sewajarnya.
Pihak syarikat kini sedang bekerjasama dengan pengedar runcit yang membekalkan ais krim organik berkenaan untuk mengeluarkan produk terjejas dari rak jualan, selain menyediakan baucar produk gantian secara percuma kepada pelanggan.
Sementara itu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS menggesa rakyatnya yang telah membeli pencuci mulut tersebut untuk segera membuangnya.
Langkah penarikan balik ini melibatkan enam produk daripada pelbagai variasi perisa dan saiz yang tertera tarikh luput antara 23 Disember 2026 hingga 30 Disember 2026.
Ais krim yang terjejas mula dipasarkan sejak 4 Mei lalu di 17 buah negeri termasuk Arizona, California, Colorado, Connecticut, Florida, Georgia, Iowa, Illinois, Indiana, Maryland, New Jersey, Oregon, Pennsylvania, Carolina Selatan, Texas, Washington dan Wisconsin.
Setakat ini, punca bagaimana serpihan logam tersebut boleh berada di dalam ais krim berkenaan masih belum dikenal pasti. Namun, dalam kes penarikan balik produk yang serupa sebelum ini, insiden sedemikian biasanya berpunca daripada kegagalan atau kerosakan pada mesin pembuatan.
Selain risiko kekotoran dan pencemaran bakteria, kehadiran serpihan logam itu mengundang bahaya tercekik kepada para pengguna.
Sisa logam tajam itu juga boleh menyebabkan luka pada bahagian mulut, tekak, perut dan usus sekiranya tertelan secara tidak sengaja selain mengakibatkan kecederaan dalaman serta pendarahan serius. Bergantung kepada saiz serpihan, ia juga berisiko menyebabkan masalah penyumbatan usus. – AGENSI










