CANBERRA: Misteri penemuan enam bebola logam aneh yang terdampar di sebuah pantai di Australia pada hujung minggu lalu akhirnya terjawab apabila pakar mengesahkan objek berkenaan merupakan komponen daripada sebuah roket pelancar angkasa lepas.
Terdahulu pada Jumaat, pasukan perkhidmatan kecemasan telah digerakkan susulan penemuan pelik tiga objek berbentuk sfera di Pantai Forrest di Queensland.
Objek keempat kemudian ditemuikan pada Sabtu, disusuli dua lagi pada Ahad. Penemuan itu mendorong pihak berkuasa mengisytiharkan zon larangan sekatan sejauh 50 meter. Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran keras kepada orang awam agar tidak menghampiri atau menyentuh objek yang berpotensi membawa bahaya’ersebut.
Agensi Angkasa Lepas Australia (ASA) kini mendedahkan bahawa sfera luar biasa itu berkemungkinan besar berasal daripada badan roket asing yang baru sahaja memasuki semula atmosfera bumi selepas berada di orbit.
Menurut pakar, objek-objek berkenaan dipercayai merupakan tangki bertekanan yang digunakan untuk menyimpan bahan api atau gas roket.
Bola itu dipercayai antara serpihan angkasa paling lazim terselamat daripada terbakar ketika memasuki semula ruang udara bumi.
“Objek yang ditemui ini kelihatan seperti tangki bertekanan daripada sebuah roket pelancar angkasa,” jelas ASA dalam satu kenyataan.
“Lokasi penemuan dan ciri-ciri objek tersebut adalah konsisten dengan serpihan daripada badan roket asing yang baru-baru ini memasuki semula atmosfera daripada orbit.
“Agensi juga sedang meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi mengesahkan secara rasmi jenis roket dan negara asal pelancaran tersebut. Pasukan penyelamat kecemasan Queensland telah menilai dan mengalihkan objek berkenaan dan mengesahkan ia kini berada dalam keadaan selamat,” katanya. – AGENSI










