PETALING JAYA: Seramai tiga individu maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh sebuah lori simen di Kilometer 34 Lebuhraya Karak menghala ke Kampung Sungai Chinchin Gombak dekat sini hari ini.
Panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Selangor pada pukul 2.07 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Volkswagen yang melanggar bahagian belakang sebuah lori simen.
“Terdapat empat orang mangsa telah tersepit. Seorang mangsa wanita berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan patah kaki kiri.
“Manakala tiga mangsa lelaki berusia anggaran 20-an telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bertugas sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, operasi penyelamatan selesai pada pukul 3.15 pagi. – UTUSAN










