Rakyat terhimpit, ahli politik sibuk kira kerusi – Ibrahim Ali

Rakyat terhimpit, ahli politik sibuk kira kerusi – Ibrahim Ali

IBRAHIM ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali menyuarakan kebimbangan terhadap nasib rakyat yang terus bergelut dengan tekanan kos sara hidup ketika ahli politik dilihat lebih sibuk memikirkan kedudukan, jawatan dan masa depan politik masing-masing.

Beliau berkata, rakyat ketika ini berdepan tekanan kewangan untuk memenuhi keperluan asas termasuk perbelanjaan dapur, bayaran hutang, sewa rumah, ansuran kenderaan, belanja persekolahan anak serta kos bahan api.

Katanya, walaupun pelbagai kenyataan daripada pemimpin dan agensi kerajaan kelihatan positif, realiti di lapangan menunjukkan rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup yang semakin menekan.

“Kasihan saya melihat rakyat Malaysia mutakhir ini. Rakyat sibuk kira duit nak isi dapur, bayar hutang, bayar sewa rumah, ansuran kereta, belanja sekolah anak, minyak motor dan macam-macam lagi.

“Semuanya nampak elok dan berita-berita daripada pemimpin atau agensi kerajaan semua bagus, tetapi di lapangan rakyat menderita dengan kos sara hidup yang makin tertekan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ibrahim berkata, politik negara hari ini seolah-olah menjadi ‘penyakit kronik’ apabila banyak pihak menggunakan nama rakyat sebagai alasan, sedangkan fokus sebenar lebih tertumpu kepada kuasa dan kedudukan.

Katanya, tindakan menubuhkan parti politik baharu selepas kalah, dipecat, tidak mendapat tempat atau kecewa dengan kedudukan tertentu hanya menjadikan rakyat sebagai alasan untuk kepentingan politik.

“Mulut cakap rakyat, kepala fikir jawatan. Bila kalah, tubuh parti. Bila kena pecat, tubuh parti. Bila tak dapat tempat, tubuh parti. Bila merajuk, tubuh parti.

“Akhirnya rakyat cuma dijadikan alasan untuk orang politik panjat tangga kuasa dengan pelbagai slogan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana ahli politik benar-benar bangkit kerana masalah rakyat seperti kemiskinan, tekanan petani dan nelayan, kejatuhan peniaga kecil serta pengangguran anak muda.

Ibrahim berkata, tidak wajar nama perjuangan digunakan bagi menutup kekecewaan peribadi atau kepentingan politik tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN