Lima warga asing terlibat seludup migran didakwa

Lima warga asing terlibat seludup migran didakwa

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima warga asing membabitkan tiga warga Indonesia dan dua Bangladesh didakwa kerana dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket penyeludupan migran mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, bagi kes melibatkan tiga warga Indonesia, seorang daripada mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 21 Mei lalu manakala dua lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Khas ATIP Klang pada 15 Mei. 

Katanya, semua tertuduh merupakan antara individu yang ditahan hasil Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dijalankan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan Rawang, Selangor pada 7 Mei lalu.

“Pendakwaan dibuat di bawah Akta ATIPSOM melibatkan peranan tertuduh sebagai ‘transporter’ serta penjaga rumah penampungan yang dipercayai menjadi sebahagian rangkaian sindiket penyeludupan migran. 

“Seorang tertuduh yang berperanan sebagai transporter didakwa di bawah Seksyen 26J ATIPSOM 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM250,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dua lagi tertuduh berperanan sebagai penjaga rumah penampungan pula didakwa di bawah Seksyen 26H akta yang sama atas kesalahan menyembunyikan atau melindungi migran yang diseludup. 

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Mahkamah Sesyen Seremban memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban,” katanya.

Katanya tiada jaminan ditawarkan dan tertuduh diperintahkan untuk terus ditahan di penjara sehingga sebutan semula kes di mahkamah tinggi. 

“Bagi dua lagi tertuduh di Mahkamah Sesyen Khas ATIP Klang, mahkamah turut memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. Tiada jaminan ditawarkan dan kedua-dua tertuduh juga diperintahkan untuk ditahan di penjara sementara menunggu sebutan semula kes di mahkamah tinggi,” katanya.

Sementara itu, kata Zakaria, dua lelaki warga Bangladesh yang dikenali sebagai ‘Geng Shafik’ turut didakwa di Mahkamah Sesyen Khas ATIP Klang pada 15 Mei lalu. 

Kesemua tertuduh merupakan antara individu yang ditahan hasil serbuan di sebuah rumah di sekitar Petaling Jaya, Selangor yang dipercayai dijadikan lokasi penampungan dan transit pendatang asing tanpa izin (PATI) pada 7 Mei. 

“Berdasarkan fakta kes, kedua-dua warga Bangladesh tersebut dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket atau ‘fasilitator’ serta penjaga rumah transit bagi sindiket Geng Shafik,” katanya.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26H Akta ATIPSOM 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana melindungi sembilan migran yang diseludup di sebuah premis kediaman di Petaling Jaya. 

“Mahkamah turut memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. 

“Tiada jaminan dibenarkan dan kedua-dua tertuduh diperintahkan untuk ditahan di penjara sehingga tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya.

JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran. 

“Mana-mana individu atau rangkaian sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran akan berdepan tindakan undang-undang yang tegas sebagai manifestasi komitmen berterusan kerajaan dalam membanteras jenayah rentas sempadan yang mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN