ALOR SETAR: Polis Kedah memberkas sembilan rakyat tempatan berusia sekitar 30-an dipercayai mendalangi kegiatan menyeludup migran dalam tiga serbuan berasingan sejak awal bulan ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek terdiri daripada tujuh lelaki serta dua perempuan yang berperanan sebagai transporter dan dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut sejak setahun lalu.
Katanya, turut ditahan bersama mereka adalah 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Dalam serbuan pertama pada 5 November lalu, seorang lelaki tempatan ditahan ketika memandu sebuah Proton Exora di bahu jalan bersebelahan sebuah rumah di Jalan Sintok, Changlun.
“Suspek ketika itu membawa 15 migran Myanmar yang berhimpit dalam kenderaannya, manakala pemeriksaan dalam rumah menemukan 11 lagi migran negara itu selain kita juga menahan seorang lagi lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai transporter,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Adzli berkata, pada 13 November pula pihaknya berjaya menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan dalam beberapa siri serbuan di Padang Terap dengan empat daripadanya memiliki rekod jenayah dan dadah.
Ujarnya, kesemua tujuh suspek itu bukan sahaja bertindak sebagai pemandu kereta untuk mengangkut migran tetapi berperanan sebagai pembantu transporter, pemerhati laluan serta penyewa kenderaan bagi aktiviti penyeludupan itu.
“Kami turut menahan lima migran warga Myanmar dalam serbuan itu setelah kenderaan membawa mereka terbabas ke dalam semak apabila dikejar polis sejauh 25 kilometer (km).
“Dua hari kemudian, kami memberkas seorang lagi lelaki tempatan di sebuah rumah di kawasan Pokok Sena bersama enam migran Myanmar yang dipercayai bekerja untuknya di sebuah kebun buah-buahan,” katanya. – UTUSAN










