PETALING JAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Kenyataan itu dibuat susulan penahanan reman seorang guru bagi membantu siasatan dakwaan kes cabul membabitkan seorang murid perempuan di sebuah sekolah di Johor yang tular di media sosial.
JPN Johor berkata, beberapa laporan polis dibuat berhubung dakwaan itu termasuk daripada pihak sekolah, sebelum guru terbabit direman bagi membantu siasatan.
Katanya, guru itu akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah sepanjang proses siasatan dijalankan.
“Pada masa sama, JPN Johor juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan murid yang menjadi mangsa dilindungi dan kesejahteraannya terpelihara.
“Orang ramai yang berhadapan dengan kes seumpama ini dinasihatkan supaya membuat laporan polis dan tidak menarik semula laporan tersebut supaya siasatan serta tindakan tegas dapat diambil pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes cabul membabitkan seorang murid perempuan yang tular di media sosial semalam.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook yang memaparkan dakwaan berkaitan kejadian berkenaan.
Berdasarkan hantaran itu, kejadian didakwa berlaku pada September lalu dan membabitkan seorang guru lelaki berusia 20-an serta seorang murid perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun. – UTUSAN










