SEREMBAN: Meskipun berjaya melebarkan rekod kemenangan, pengendali Negeri Sembilan FC, K. Devan tetap memuji Penang FC yang disifatkan telah memberikan banyak kesukaran bagi pasukannya meraih tiga mata.
Jelas Devan, beliau tidak menyangka Penang mampu menampilkan aksi yang sangat baik walaupun tanpa kehadiran beberapa tonggak import mereka.
“Saya tidak sangka Penang bermain seperti ini walaupun mereka turun tanpa beberapa pemain import mereka telah tidak membenarkan Negeri Sembilan menang dengan mudah, pujian harus diberikan.
“Bagaimanapun, boleh dikatakan, Negeri Sembilan berhak menang, kami mencipta banyak peluang tetapi penyudah malam ini saya lihat tidak begitu baik.
“Walau apa pun, komitmen dan kesungguhan pemain Negeri Sembilan dapat dilihat terutama ketika kami ketinggalan dalam babak pertama.

“Walaupun menang tipis, saya berpuas hati dengan keputusan ini dan prestasi yang ditunjukkan sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan dan Penang kelmarin.
Dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini itu, tuan rumah meraih kemenangan dengan keputusan 3-2.
Dalam pada itu, bagi Ketua Jurulatih Penang, datuk Zainal Abidin Hassan berkata, beliau ternyata kecewa apabila apabila gagal mencuri sebarang mata dalam kunjungan pasukannya ke Paroi.
“Bagi saya ini memang satu kekecewaan kerana kita kehilangan mata, saya harap pemain dapat bawa sekurang-kurangnya satu mata, tetapi tahniah kepada pemain kerana telah menunjukkan kesungguhan sejak wisel pertama hingga penamat.
“Pemain telah menunjukkan peningkatan dalam permainan mereka jadi selepas ini apabila dapat bermain di tempat sendiri nanti mereka dapat mengekalkan momentum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE