PETALING JAYA: Kerajaan disaran menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal bagi mengelak pelbagai spekulasi selain meningkatkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pentadbiran negara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan itu dikemukakan bagi memudahkan semua pihak merancang persiapan menghadapi pilihan raya dengan lebih teratur.
“Antara tuntutan kami ialah kerajaan menetapkan terus tarikh PRU supaya tidak timbul pelbagai spekulasi.
“Ia juga dapat meyakinkan pelabur, mengurangkan tekanan politik semasa serta memberi ruang kepada semua parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan lebih awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak gesaan supaya PRU16 diadakan lebih awal.
Sebaliknya, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada kerajaan menamatkan penggal penuh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik terus terpelihara.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) wajar diadakan lebih awal bagi membolehkan mandat baharu diberikan kepada sebuah kerajaan yang mampu melaksanakan dasar serta reformasi demi kepentingan negara.
Katanya, kerajaan semasa tidak berani melaksanakan beberapa perkara penting kerana bimbang terhadap reaksi pengundi.
“Kalau tanya kami, kami sebenarnya mahu secepat mungkin supaya mandat baharu dapat diberikan kepada kerajaan yang baharu ini melaksanakan reformasi yang lebih ikhlas.
“Banyak benda yang penting, kerajaan hari ini tak boleh buat, tak berani buat sebab dia takut pengundi marah. Jadi sebenarnya pilihan raya umum yang sepatutnya dibuat awal akan membantu kerajaan baharu ini membuat pendirian lebih berani dalam segi percukaian dan sebagainya.
“Kerajaan Anwar Ibrahim tak berani. Jadi, saya rasa lagi lambat dia tangguh, lagi bermasalah rakyat Malaysia berdepan dengan krisis ekonomi yang menggila,” katanya.-UTUSAN










