NILAI: Amalan menyorokkan kes buli di sekolah semata-mata untuk menjaga imej institusi pendidikan perlu dihentikan kerana tindakan sedemikian hanya akan memburukkan keadaan dan menjejaskan keselamatan pelajar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan menutup kes hanya akan menyebabkan budaya buli terus berleluasa dan menjadi masalah yang semakin serius dalam kalangan pelajar.
“Saya tidak fikir seorang guru besar atau pengetua itu salah kalau dia bongkar satu kes, pelajar ada 1,000, ada dua kes buli, takkan hendak salahkan pengetua tetapi jadi salah kalau dia tidak mengambil tindakan dan hendak tutup kes.
“Kalau kita bongkar betul-betul, hari-hari ada kes buli. Ini tak boleh, maknanya (buli) menjadi satu penyakit akhlak,” katanya semasa program Temu Anwar bersama pelajar-pelajar Insitut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Kompleks Pendidikan Nilai, Bandar Baru Enstek, di sini hari ini.
Anwar berkata, usaha membanteras buli tidak boleh hanya tertumpu kepada tindakan disiplin, sebaliknya perlu disokong dengan penerapan nilai kemanusiaan dan saling menghormati dalam sistem pendidikan.
“Kita boleh jadi teknokrat, pakar IT (teknologi maklumat) atau memiliki PhD (doktor falsafah), tetapi untuk apa semua itu kalau tidak dididik menjadi manusia yang memahami nilai kemanusiaan dan menghormati orang lain,” katanya.-UTUSAN










