BARCELONA: Bekas kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang mungkin boleh menjadi penyelesaian kepada masalah serangan yang dihadapi Manchester United.
Menurut akhbar The Independent, United telah ditawarkan oleh Barcelona peluang menandatangani penyerang Gabon itu.
Gergasi bola sepak Sepanyol tersebut dikatakan berusaha memotong bil gaji pemain sebelum tarikh akhir pendaftaran La Liga, dengan kelab itu pada masa ini tidak dapat mendaftarkan mana-mana pemain baharu.
Kehadiran Robert Lewandowski di Camp Nou bulan lalu mendorong Aubameyang ‘turun ranking’ dalam senarai penyerang walaupun baru enam bulan beraksi di Sepanyol.

Bekas penyerang Arsenal itu menunjukkan prestasi cemerlang sejak menyertai Barcelona, Februari lalu dengan meledak 11 gol dalam 17 penampilan liga.
Dia menjaringkan 76 gol dalam Liga Perdana Inggeris sepanjang empat tahun setengah menyarung jersi Arsenal.
Setelah tumpas 1-2 kepada Brighton dalam aksi pembukaan Liga Perdana, Ahad lalu, Aubameyang memberi pilihan bernilai buat United.

Begitupun, Barca tidak hanya menawarkan pemain berusia 33 tahun itu kepada United, malah pesaing mereka, Chelsea.
Pengurus Blues, Thomas Tuchel pernah bekerja dengan Aubameyang ketika berada di Borussia Dortmund, dengan pasangan itu menikmati kejayaan yang hebat. – AGENSI