PETALING JAYA: Penang FC bakal berdepan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini tanpa khidmat kaptennya, Endrick Dos Santos yang mengambil cuti rehat sehingga hujung bulan ini.
Berada di tangga tercorot Liga Super dengan hanya meraih tujuh mata selepas mengharungi 11 perlawanan apabila menang sekali, seri empat kali dan tewas enam kali aksi di Stadium Bandaraya malam ini pastinya sedikit sukar tanpa kehadiran Endrick.
Menerusi kenyataan disiarkan kelab, pemain tengah berusia 27 tahun itu diminta mengambil cuti rehat sehingga 31 Julai ini.
Pengurusan Penang FC turut menafikan khabar angin tersebar di media sosial yang mendakwa Endrick digantung hingga bulan depan.
“Adalah dimaklumkan bahawa tiada arahan atau hukuman penggantungan pemain dilaksanakan oleh pihak pengurusan Penang FC.
“Beliau (Endrick) hanya diminta mengambil cuti rehat sehingga 31 Julai 2022,” tegasnya.
Endrick dijangka terlepas dua perlawanan seterusnya menentang Melaka United pada di Stadium Hang Jebat Melaka, 26 Julai sebelum lima hari kemudian bertemu Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Harimau Kumbang yang juga juara Liga Perdana 2020 ketika ini dilihat sedang bergelut dengan masalah prestasi sejak awal musim ini yang menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot Liga Super.
Skuad Harimau Kumbang hanya mengumpul tujuh mata selepas mengharungi 11 perlawanan apabila menang sekali, seri empat kali dan tewas enam kali.