Kedah seru lebih ramai penyokong banjiri stadium

Kedah seru lebih ramai penyokong banjiri stadium

SEBAHAGIAN penonton yang hadir di Stadium Darul Aman ketika menonton aksi Kedah menentang Sarawak United kelmarin. - IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Daripada 30,000 penonton yang mampu dimuatkan dalam Stadium Darul Aman, hanya 1,372 penyokong yang memenuhi ‘rumah’ Kedah Darul Aman (KDA FC) bertemu Sarawak United pada saingan Liga Super kelmarin.

Angka kecil itu mungkin disebabkan perlawanan berlangsung pada hari bekerja atau mungkin juga kerana kekecewaan penyokong terhadap prestasi KDA FC yang gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir termasuk tewas dua kali berturut-turut kepada Terengganu FC.

Justeru pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak amat berharap supaya para penyokong dapat kembali ke stadium kerana suntikan semangat daripada pemain ke-12 sentiasa ditagih oleh anak-anak buahnya.

“Sudah tentu kami mengharapkan lebih ramai pemain ke-12 berada di stadium setiap kali KDA FC beraksi. Apabila kita bercakap tentang sebuah keluarga yang memakai jersi serta logo sama, kita perlu sentiasa bersatu dan ada untuk satu sama lain.

“Saya tekankan kepada pemain bahawa bola sepak tanpa penyokong adalah sesuatu yang tidak bermakna dan kita perlu sentiasa memberikan yang terbaik buat mereka. Namun dalam masa sama, penyokong perlu percaya dan menerima bahawa pasukan ini masih berada dalam proses transisi.

“Kita semua perlu bersabar dan Alhamdulillah kita dapat lihat peminat masih bersama untuk menyokong pemain. Cumanya saya harap selepas ini kita akan dapat melihat lebih ramai lagi penyokong Hijau Kuning di ‘rumah’ kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berakhir perlawanan menentang Sarawak United di Stadium Darul Aman kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Sang Kenari mencatat kemenangan 3-1 hasil dua jaringan Mahmoud Al Mardi serta satu dari Ronald Ngah Wanja. Gol saguhati dimiliki Sarawak terhasil menerusi jaringan pemain import dari Nigeria, Uche Agba pada minit ke-52.

Mengulas kekurangan KDA FC berikutan ketiadaan dua pemain import, Marc Vales serta Dechi Marcel yang mengalami kecederaan dalam tempoh panjang, Aidil berkata, beliau sentiasa percaya setiap pemain yang dimilikinya untuk membawa cabaran pasukan.

“Tak kira siapa yang masuk atau keluar dari padang, saya sentiasa menaruh kepercayaan terhadap mereka termasuk pemain-pemain muda. Lihat sahaja dalam perlawanan ini bagaimana pemain-pemain muda yang dimasukkan termasuk Mohd. Loqman Hakim Marzuki dan Mohamad Heshamudin Ahmad beraksi baik disamping Mardi serta Ronald Ngah.

“Malam ini (kelmarin) kami bermain hanya dengan tiga pemain import dan pasukan ini dijangka kehilangan Marcel untuk tempoh sebulan. Saya gembira dengan aksi ditampilkan setiap pemain yang bekerja keras dan mengharapkan supaya mereka dapat terus meningkat dalam perlawanan seterusnya,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN