PETALING JAYA: Hasil penelitian dan siasatan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merumuskan pengadil, Suhaizi Shukri tidak mempunyai niat ketika menyepak pemain Selangor FC, Fazly Mazlan.
Insiden yang berlaku pada suku akhir Piala FA antara Sabah menentang Selangor di Stadium Likas, Sabtu itu hanyalah tindak balas spontan daripada pengadil berkenaan.
Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar berkata, pengadil tersebut sudah memohon maaf kepada pemain, FAM, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Jawatankuasa
Pengadil FAM dan peminat bola sepak tanah air atas kejadian yang tidak disengajakan.

“Pada minit ke-45, pemain dari Selangor FC iaitu Fazly Mazlan dilayangkan kad kuning kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan kesalahan mengganggu atau menggagalkan serangan yang baik pihak lawan iaitu Sabah FC.
“Seterusnya pemain berkenaan bergerak ke arah pengadil perlawanan dengan melakukan bantahan, seterusnya memijak kaki pengadil.
“Ini membuatkan pengadil berkenaan tidak dapat menahan kesakitannya, lantas secara spontan mengangkat kaki yang kebetulan ditujukan ke arah kaki pemain Selangor FC itu.
“Bagaimanapun, pergerakan kaki pengadil tidak berkesudahan dengan sebarang sentuhan terhadap pemain terbabit,” katanya.