Piala Cabaran: Penang FC mahu menang awal, Sabah enggan mengalah

Piala Cabaran: Penang FC mahu menang awal, Sabah enggan mengalah

WAN Rohaimi Wan Ismail (kiri) dan Juan Torres Garrido (kanan) pada sidang akhbar bersama sempena aksi final Piala Cabaran di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam esok.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Penang FC bertekad untuk memanfaatkan sepenuhnya aksi 90 minit pertama final Piala Cabaran menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, ketika ini, segala persiapan rapi telah diatur menjelang aksi final tersebut dan anak-anak buahnya juga berada dalam ‘mood’ yang positif untuk perlawanan berkenaan.

“‘Final is final’. Ya, ia satu perlawanan yang unik dan saya berharap agar pemain-pemain akan bermain seperti tiga atau empat perlawanan kita yang lepas dan meneruskan momentum yang sama pada malam esok.

“Kalau boleh, saya juga berharap agar kami tidak perlu menunggu lama iaitu sehingga perlawanan akhir kedua di Sabah bagi menentukan pasukan mana paling layak bergelar juara,” katanya ketika sidang akhbar menjelang perlawanan itu, hari ini.

Jelas Wan Rohaimi, walaupun Harimau Kumbang mungkin tidak dapat menurunkan beberapa pemain tonggak termasuk bek kiri mereka, Adib Ra’op, dalam perlawanan menentang Sang Badak nanti, namun, beliau optimis mana-mana pemain yang dipilih menggalas tanggungjawab tersebut akan beraksi sehabis baik.

“Apapun, saya berharap agar penyokong-penyokong Penang FC dapat memenuhi stadium malam esok dan menjadi motivasi kepada para pemain untuk beraksi lebih cemerlang,” katanya dalam sidang akhbar sempena perlawanan itu, hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido juga optimis anak-anak buahnya mampu melakukan sesuatu pada aksi final tersebut.

“Kami membuat persiapan seperti yang sepatutnya (untuk final) kerana ia melibatkan dua perlawanan akhir. Jadi, pendekatan yang akan digunakan dalam perlawanan akhir kedua di Sabah mungkin berbeza dengan malam esok.

“Oleh itu, apa sahaja keputusan yang dicapai dalam perlawanan esok, kami tidak akan menganggap ia sebagai penamat kerana final ini tidak berakhir dalam perlawanan yang pertama sahaja,” kata bekas pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) Harimau Malaya itu.

Difahamkan, Sabah dan Pulau Pinang belum pernah bertembung dalam mana-mana aksi final anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Kali terakhir Pulau Pinang mendakap kejuaraan yang besar ialah selepas menundukkan Perak pada final Piala FA 2002 dengan keputusan 1-0 manakala kejuaraan terakhir Sabah pula hadir menerusi Liga Premier pada 2019.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN