JOHOR BAHRU: Seramai 16 atlet Johor menjadi taruhan bagi mengharumkan nama negeri dan negara untuk menyumbang pingat pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, atlet Johor itu akan berentap dalam angkat berat, badminton, berbasikal, olahraga, ping pong dan ragbi.
“Seramai 16 atlet anak Johor yang mewakili Malaysia, insya-Allah jika diizinkan saya akan bersama-sama ke London untuk melihat sendiri mereka di sana.
“Kita akan beri semangat dan beri peransang kepada mereka, harap mereka beroleh kemenangan dan sumbang pingat untuk negara.
“Harap mereka akan terus berlatih bersungguh-sungguh dan harumkan nama Johor juga,” katanya selepas merasmikan Paragon Badminton Cup 2022, di sini hari ini.

Mohd. Hairi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi tentang ganjaran yang akan diberikan kepada atlet terbabit berjaya meraih pingat.
Mengenai persiapan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 yang dijadualkan berlangsung pada September depan, beliau berkata Johor menetapkan sasaran memenangi 40 pingat emas.
“Kalau lebih itu adalah bonus. Kita harapkan mereka lakukan yang terbaik,” katanya.