MANCHESTER: Manchester United dijangka mengekalkan Harry Maguire, namun dalam masa sama cuba mendapatkan pertahanan baharu jika berjaya menjual Eric Baily, Phil Jones serta Axel Tuanzebe pada musim panas ini.
Masa depan Maguire di Old Trafford kelihatan samar selepas mengharungi musim buruk berdasarkan prestasi dan kepimpinan sebagai kapten sehingga dipersoalkan oleh rakan sepasukan sendiri.
Pengurus baharu Red Devils, Erik Ten Hag bercadang untuk mengekalkan bek tengah England itu bersama Raphael Varane dan Victor Lindelof, begitupun kedudukannya sebagai kapten belum dipastikan.
Ten Hag belum mempunyai kata putus mengenai perkara tersebut biarpun pengurus sementara, Ralf Rangnick menjelaskan pemain sepatutnya menentukan sendiri siapa layak memakai lilitan kapten.

Maguire hilang tempatnya di bawah pengurusan Rangnick dan bakal hadapi cabaran lebih sengit musim depan seandainya United berjaya mendapat seorang lagi pemain baharu yang boleh beraksi di posisinya.
Pilihan pertama United ketika ini ialah pemain dari Ajax Amsterdam, Jurrien Timber, namun United kurang optimis pemain itu akan berpindah ke Old Trafford musim depan.
United juga sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan rakan sepasukan Timber, Lisandro Martinez dan pertahanan Villarreal, Pau Torres.
Ten Hag kini amat komited untuk membawa masuk dua bekas pemain Ajax, Frenkie De Jong dan Antony serta cuba memancing bekas bintang tengah Tottenham Hotspurs, Christian Eriksen.

De Jong kini tumpuan utama United dan sedang dalam rundingan bersama Barcelona mengenai yuran perpindahan pemain Belanda itu.
Bagaimanapun United tegas tidak akan tunduk dengan nilai 70 juta pound (RM377 juta) ditetapkan kelab Catalan itu dan sedia untuk berundur daripada rundingan tersebut.
Pemain sayap Brazil, Antony pula dianggarkan berharga sekitar 40 juta pound (RM215.14 juta), sementara Eriksen adalah ejen bebas setelas tamat kontrak bersama Brenford.
Penjaga Gol United, Dean Henderson pula dijangka menyertai Nottingham Forest untuk tempoh pinjaman jangka panjang. – AGENSI