KOTA BHARU: Kawasan belukar menjadi penyumbang utama kes kebakaran di Malaysia bagi tiga tahun berturut-turut apabila mencatatkan sebanyak 32,313 kes daripada keseluruhan 39,173 kes pembakaran terbuka.
Ia direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bermula 2024 hingga Mac lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, berpandukan kepada analisis dijalankan, pihaknya mendapati berlaku peningkatan semula kes kebakaran belukar pada tahun ini setelah menunjukkan penurunan pada tahun lalu.
“Kebakaran belukar di seluruh negara meningkat kepada 11,147 kes setakat Mac tahun ini, selepas menurun kepada 7,984 kes pada tahun lalu, berbanding 13,182 kes yang direkodkan pada 2024.
“Kebakaran belukar dianggarkan menyumbang lebih 80 peratus kepada keseluruhan kes kebakaran terbuka dan ia perlu dianggap sebagai isu utama yang memerlukan perhatian serius daripada JBPM,” katanya dslam sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Ahmad Izram berkata, trend tidak konsisten dalam kes kebakaran belukar menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan langkah kawalan sedia ada. – UTUSAN










