Payung Besar medan penyatuan Melayu mampu menang PRU

Payung Besar medan penyatuan Melayu mampu menang PRU

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan gagasan ‘Payung Besar’ yang dilihat sebagai usaha menyatukan orang Melayu dalam satu entiti diyakini mampu memperkukuh kedudukan politik sekali gus meningkatkan peluang kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kekuatan orang Melayu bukan lagi terletak pada parti tertentu seperti UMNO, sebaliknya bergantung kepada penyatuan dan perpaduan.

Malah katanya, sejarah membuktikan kejayaan orang Melayu menentang penjajah British sebelum ini bukan disebabkan kekuatan parti semata-mata, tetapi hasil penyatuan di bawah satu perjuangan dan wadah.

“Jika pada masa itu banyak parti ditubuhkan, orang Melayu akan berpecah dan tidak mungkin dapat mengalahkan British,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, masih ramai yang kekal dalam UMNO tanpa mengambil kira perubahan perjuangan parti itu yang didakwanya telah beralih daripada perjuangan asal kepada keuntungan semata-mata.

“Ramai yang terus berada dalam UMNO tidak ambil kira perubahan perjuangan UMNO. Dari parti Kebangsaan UMNO sudah jadi parti untuk mendapat kekayaan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, terdapat juga kelompok yang keluar daripada UMNO namun tidak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus menyumbang kepada perpecahan orang Melayu.

“Jika majoriti mereka menyertai Bersatu, perpecahan tidak akan berlaku. Namun, dengan kewujudan pelbagai parti lain, orang Melayu terus berpecah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menafikan dakwaan kononnya beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu, sebaliknya menegaskan ia berlaku selepas perubahan hala tuju UMNO.

Menurut beliau, keputusan untuk keluar UMNO dibuat kerana parti itu didakwa telah menyeleweng daripada perjuangan asal yang berteraskan bangsa, negara dan agama dengan lebih kepada meraih kekayaan semata-mata.

“Saya keluar dari UMNO untuk menubuhkan parti Melayu baharu supaya mereka yang kecewa dengan UMNO di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat bersama dalam satu wadah yang menggantikan UMNO,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, hasrat tersebut tidak tercapai sepenuhnya apabila ramai ahli UMNO memilih untuk kekal dalam parti berkenaan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan Bersatu yang ditubuhkan tidak mampu menggantikan UMNO sebagai parti utama orang Melayu.

“Malah dalam PRU14 , parti itu hanya memenangi 13 kerusi Parlimen,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN