Malaysia terus mainkan peranan redakan ketegangan di Asia Barat - PM

Malaysia terus mainkan peranan redakan ketegangan di Asia Barat – PM

ANWAR Ibrahim (enam kiri) bersama Pengerusi Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Professor Dr Mohd Faiz Abdullah (lima kiri) bergambar selepas Dialog Kuala Lumpur-Ankara di Grand Hyatt di sini hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memainkan peranannya sebagai penghubung diplomatik bagi menyelesaikan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terus berhubung dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bagi menyampaikan kebimbangan negara lain di rantau itu termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Kata beliau, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai saluran komunikasi tidak rasmi antara pihak yang berpotensi bertentangan, sekali gus mengurangkan risiko ketegangan yang boleh menjejaskan kestabilan serantau.

“Malaysia berperanan untuk memudahkan komunikasi antara negara, memastikan mesej disampaikan dengan tepat dan memperkukuh kepercayaan, tanpa terikat kepada mana-mana blok kuasa,” katanya dalam sesi soal jawab Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ia membuktikkan keupayaan Malaysia dalam arena geopolitik global terutama dalam isu yang melibatkan keamanan dan kestabilan ekonomi serantau.

Katanya, mesej yang disampaikan kepada Masoud dan pelbagai negara lain adalah berasaskan kepercayaan peribadi dan hubungan diplomatik yang kukuh.

“Kepercayaan adalah asas untuk memastikan komunikasi berkesan, dan Malaysia mengambil tanggungjawab itu dengan serius,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata, ia tidak menandakan Malaysia berpihak kepada mana-mana negara, sebaliknya hanya mahu terus memelihara kepentingan nasional sambil menyumbang kepada keamanan serantau.

“Walaupun kita negara kecil, kita boleh memberi impak besar dengan pendekatan yang tepat dan komunikasi yang berkesan,” katanya.

Tambahnya, pendekatan yang digunakan oleh Malaysia adalah berasaskan prinsip keadilan dan empati, bukan semata-mata strategi politik.

“Keupayaan membuat keputusan secara bebas dan fleksibel menjadi kekuatan utama negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN