Nenek, cucu saudara maut dalam perjalanan ke sekolah

Nenek, cucu saudara maut dalam perjalanan ke sekolah

WARGA emas dan cucu saudaranya maut dalam kemalangan di Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang di Padang Terap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seorang warga emas bersama cucu saudaranya maut setelah motosikal dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza di Jalan Padang Sanai, di sini hari ini.

Dalam nahas sekitar pukul 6.45 pagi itu, Che Rahmah Abdul Karim, 76, dan cucu saudara, Auni Afiqah Hadi, 3, yang membonceng di bahagian hadapan motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa, cucu saudara lelaki berusia sembilan tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika Che Rahmah dalam perjalanan menghantar cucu saudara lelakinya itu ke Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Terap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Affzanisham Mohammad Sham berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Toyota Avanza dalam perjalanan dari arah Kampung Lubuk Labi menghala ke Ladang Seraya, Padang Sanai.

“Setibanya di lokasi, motosikal dinaiki tiga mangsa dari arah bertentangan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Tindakan itu menyebabkan MPV berkenaan gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal mangsa. Akibat pelanggaran tersebut, penunggang dan pembonceng hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pembonceng belakang motosikal dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan, manakala pemandu MPV iaitu lelaki berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN