Harimau Selatan mudah ke suku akhir Piala FA

Harimau Selatan mudah ke suku akhir Piala FA

FERNANDO Forestieri meledak gol keduanya ketika membantu JDT menumpaskan Sarawak United pada aksi Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu lalu. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan menempah tiket ke pusingan suku akhir Piala FA selepas menundukkan Sarawak United 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, juara Liga Super lapan kali itu tidak menunggu lama untuk memperoleh gol pembukaan hasil sepakan bebas setelah Bergson Da Silva dijatuhkan S. Veenod di luar kotak penalti.

Nazmi Faiz Mansor menggunakan kepakarannya melepaskan rembatan deras menerjah jaring gawang lawan tanpa sempat penjaga gol, Tauffiq Ar Rasyid Johar melakukan sebarang usaha menghentikan percubaan itu pada minit keenam.

FERNANDO Forestieri meraikan jaringannya ketika membantu JDT menumpaskan Sarawak United pada aksi Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Skuad bimbingan Benjamin Mora itu terus mengasak benteng pertahanan lawan dengan melakukan serangan di bahagian sayap bagi menggandakan jaringan.

Permainan berintensiti tinggi yang dipamerkan skuad Harimau Selatan itu berjaya mencipta jaringan pada minit ke-14 hasil jaringan Fernando Forestieri yang melakukan sentuhan menewaskan Tauffiq.

Tauffiq bertindak cemerlang menafikan rembatan kencang Bergson yang mendapat umpanan Corbin Ong namun Forestieri lebih pantas mengejar bola muntah bagi menambah jaringan buat pasukan tuan rumah.

Bergson hampir meletakkan namanya dalam senarai penjaring tiga minit berselang namun rembatan lerek yang dilakukan sedikit tersasar dari pintu gol skuad Kenyalang Emas.

Forestieri berjaya meletakkan JDT di kedudukan selesa apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-43 setelah menerima umpanan Corbin Ong dan melepaskan rembatan lencong melepasi jangkauan penjaga gawang lawan.

Hasrat Forestieri untuk melengkapkan jaringan hatrik kedua dalam saingan kempen Piala FA musim ini dinafikan pertahanan lawan yang membuat hadangan memastikan gawang tidak lagi dibolosi pada babak pertama.

 Bergson Da Silva cuba melepasi kawalan pertahanan Sarawak United, Gonzalo Manuel Soto dalam aksi Piala FA, malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Safiq Rahim yang dibawa masuk menggantikan Afiq Fazail beberapa kali berjaya meletakkan diri di kedudukan terbaik untuk mencipta jaringan, namun tidak berjaya melakukan sentuhan penyudah untuk menambah derita buat pasukan kendalian B. Satiananthan.

Peluang terbaik Safiq hadir pada minit ke-58 ketika Tauffiq keluar dari kotak penalti untuk mengeluarkan bola namun Safiq yang berjaya memintas bola itu membuat sepakan lambung hanya mampu menggegarkan palang gol.

Peluang terbaik Sarawak United mencipta jaringan menerusi sepakan lambung Francis Kone namun pemain pertahanan bijak mengeluarkan bola sebelum melepasi garisan gol.

Danial Amier Norhisham yang menggantikan Nazmi Faiz turut berpeluang untuk menambah jaringan namun sepakan voli pada minit ke-79 jauh tersasar.

Perlawanan itu nyata bukanlah malam terbaik buat Bergson setelah peluang demi peluang yang disajikan kepada penyerang kelahiran Brazil itu gagal disempurnakan dengan baik untuk mencipta gol.

Pada hujung permainan, ketika penjaga gol sudah tertewas dan pintu gol terbuka luas, rembatan jarak dekat yang dilakukan Bergson dihadang oleh Ashri Chuchu bagi memastikan penyerang sensasi itu terus hampa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.