Hanya tahu isteri kembali kritikal selepas konsert, Muss tunjuk komitmen lunaskan tanggungjawab hiburkan peminat - Utusan Malaysia

Hanya tahu isteri kembali kritikal selepas konsert, Muss tunjuk komitmen lunaskan tanggungjawab hiburkan peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Barbarik, Muss terpaksa mengetepikan seketika emosi mengenangkan keadaan isterinya yang kurang sihat demi melunaskan tanggungjawab dalam Konsert Black On White: Cromok-Barbarik di Idea Live Arena, 3 Damansara, malam tadi.

Muss atau Mustafa Din, tetap profesional mendendangkan sekitar 20 buah lagu bersama kumpulan Barbarik sebelum bergegas ke hospital sejurus selepas persembahan tamat akibat isterinya kembali kritikal.

Difahamkan, khabar mendukacitakan tersebut sengaja disembunyikan dan hanya dimaklumkan kepada Muss sejurus selesai persembahan bagi memastikan tumpuan beliau di atas pentas tidak terganggu.

“Persembahan tidak pernah sempurna dan dalam kehidupan pun tiada yang sempurna kerana pasti ada kekurangan di mana-mana sahaja. Namun, yang penting adalah bagaimana kita menanganinya dan mengambil yang terbaik daripada apa yang ada di depan kita.

“Malam ini semuanya berjalan lancar tanpa ada yang tergendala atau masalah teknikal besar sehingga perlu berhenti seketika. Semua perkara telah berjalan seperti yang dirancang dari awal,” kata pemain gitar Cromok, Karl.

Dalam pada itu, konsert yang menggabungkan genre rock dan thrash metal berkenaan turut menyaksikan keberanian kumpulan Cromok mempertaruhkan lagu baharu mereka bertajuk Wisdom.

Karl berkata, langkah memperdengarkan material baharu yang belum pernah dinyanyikan bersama peminat itu amat penting bagi membuktikan bahawa kumpulan legenda tersebut masih aktif berkarya.

“Itu perkara biasa kerana kami perlu tunjuk kami masih produktif sebagai sebuah kumpulan muzik. Bukan semua orang berani bermain lagu baharu yang belum dilancarkan, jadi kami kena didik peminat.

“Kami memang mahu memberitahu kepada semua orang yang kami masih aktif dan tidak hanya bergantung kepada lagu lama. Penonton yang datang malam ini bertuah kerana mereka menjadi orang pertama yang mendengarnya,” katanya.

Sementara itu, konsert tersebut turut diserikan dengan segmen penghormatan kepada dua bekas ahli asal Cromok, Allahyarham Din dan Allahyarham Miji menerusi dendangan lagu Fallen Heroes.

“Sebab itu kita namakan lagu itu Fallen Hero, bagi mengenang jasa mereka. Mereka antara pengasas nama Cromok dari awal lagi, terutama Allahyarham Din,” katanya.

Konsert Black On White: Cromok-Barbarik yang berlangsung pada 27 Jun tersebut digerakkan sepenuhnya oleh Karl Legacy dengan kerjasama pihak Pentas Barbarik.

Untuk rekod, penganjuran acara muzik ini mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures di bawah Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik dan Dana Persembahan Muzik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN