Hilaian ngeri di puncak gunung

Hilaian ngeri di puncak gunung (siri akhir)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya memandang longgokan ranting kayu yang terkumpul di hadapan dengan perasaan berbelah bagi. Setelah berfikir beberapa ketika saya ambil keputusan untuk bawa ke khemah. Fikir saya di mana lagi saya boleh dapatkan kayu-kayu kering dalam keadaan hujan begini.

Alhamdulillah, dalam waktu singkat kami berjaya dirikan khemah. Hujan yang tadinya lebat sudah bertukar reda. Kami kemudiannya menuju ke arah anak sungai berdekatan untuk membersihkan diri, maklumlah seharian mendaki dan melakukan pelbagai kerja, badan pun berpeluh dan melekit.

Saya toleh jam di tangan, sudah menghampiri waktu Maghrib.

“Kita kena mandi cepat ni, nanti sudah gelap,” kata Bob kepada kami.

Kami tidak mandi lama. Risau pula berada di anak sungai selepas hujan lebat, takut kalau-kalau muncul kepala air, maklumlah tiada siapa dapat menjangka apa yang berlaku di atas gunung ketika itu.

Dalam perjalanan menuju ke khemah, tiba-tiba telinga kami menangkap bunyi jeritan panjang dari hutan berdekatan. Masing-masing berpandangan. Walaupun jeritan tersebut hanya sekali namun tetap didengari. Kami diam tanpa sepatah kata sambil mengatur langkah laju ke arah khemah.

Jika itu datangnya daripada binatang buas, tidak mungkin pula kerana bunyi tersebut seakan suara manusia, tetapi bila difikir semula manusia mana pula yang ada di tengah hutan di waktu begini? Dan kenapa jeritan tersebut hanya kedengaran sekali sahaja?

Bulu roma saya tegak berdiri. Tidak tahu bagaimana ingin digambarkan keadaan ketika itu, tambah pula suasana sudah gelap, terus teringat kata orang tua-tua, yang mana di waktu beginilah syaitan dan iblis banyak berkeliaran.

Sedang kami bersiap ingin menunaikan solat berjemaah, tiba-tiba telinga menangkap bunyi riuh dan hingar bingar di belukar berdekatan. Bunyi seperti kumpulan monyet atau kera yang membuat bising. Kami berpandangan.

Dalam samar gelap saya mengintai ke arah luar. Nampak pohon-pohon berdekatan bergoyang kuat seperti ada sesuatu yang menggoncangnya, tetapi yang peliknya kelibat seekor haiwan pun tidak kelihatan.

“Tak ada apa-apa, itu hanya monyet agaknya,” kata saya menyedapkan hati rakan-rakan sebelum mengajak mereka menunaikan solat.

Namun hakikatnya solat kami memang tidak khusyuk kerana pelbagai bunyi aneh muncul secara tiba-tiba sehinggakan terasa seperti ada yang menggoncang dan membaling pelbagai objek ke arah khemah kami.

Selesai solat, suasana persekitaran kembali sunyi sepi. Bunyi riuh dan hiruk pikuk sebentar tadi terus hilang sekelip mata. Kami lantas memeriksa beg dan bekalan makanan yang dibawa, nampak semuanya elok dan tidak terusik malah tidak ada satu pun yang hilang atau dirosakkan.

Kami kumpulkan kayu-kayu yang dikutip tadi dan buat unggun api. Malam itu kami hanya makan mi segera bersama roti yang dicicah dengan kopi O panas. Walaupun serba ringkas tapi cukup menyelerakan, maklumlah dalam suasana sejuk seperti itu makan apa sahaja pun pasti menyelerakan.

Lebih kurang pukul 10 malam saya dan rakan-rakan ambil keputusan untuk masuk tidur. Kami merancang ingin teruskan pendakian seawal matahari terbit nanti, jadi eloklah kalau kami berehat awal untuk simpan tenaga secukupnya.

Sedang mata ingin lelap, tiba-tiba saya terdengar bunyi aneh dari luar khemah. Terus saya perlahankan radio di telefon bimbit untuk dengar dengan lebih jelas.
HIIIIIIIIIIIIII… HIIIIIIIIIIIIIIIIIIII… HIIIIIIIIIIIIIIII….
HIIIIIIIIIIIIII… HIIIIIIIIIIIIIIIIIIII…

Kedengaran bunyi hilaian panjang dari arah luar. Bulu roma saya serta merta tegak berdiri.

Saya toleh ke arah Asri yang sedang berdengkur di sebelah, nampak dia sudah lena dibuai mimpi. Di khemah sebelah pula awal-awal lagi lampu sudah dimatikan, mungkin keduanya juga sedang lena tidur.

Bunyi hilaian panjang tersebut sekali sekala memecah kesunyian malam. Walaupun sayup tapi masih jelas kedengaran.

Ingin saja rasanya saya keluar dan meninjau sekeliling, tetapi bila fikirkan risiko sebaliknya, terus saya batalkan niat, risau pula kalau terserempak dengan apa-apa di luar jangkaan.

Saya tarik selimut dan berselubung. Waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kecutnya perut saya. Saya percaya hilaian tersebut bukannya daripada makhluk yang bernama haiwan.

Saya tidak tahu pukul berapa saya tertidur. Sedar-sedar sahaja hari sudah cerah dan cahaya matahari sudah menerangi kawasan perkhemahan kami.

Ketika sedang sibuk berkemas, saya ceritakan apa yang berlaku malam tadi. Terlopong mulut kawan-kawan mendengarnya.

“Aku rasa betul-betul tidak sedap hati untuk teruskan pendakian ini. Aku ingat kita baliklah, batalkan program kita hari ini,” kata saya kepada mereka.
Kesemua rakan bersetuju. Masing-masing pun tidak mahu ambil sebarang risiko atas apa yang berlaku nanti. Selesai mengemas barang kami terus menyusuri denai kecil untuk turun ke bawah.

Sekali lagi saya terkejut apabila melalui kawasan tebing tempat saya ambil kayu semalam. Jelas kelihatan ada beberapa longgokan kecil kayu-kayu baharu yang sudah siap tersusun. Pelik!

Sedangkan separuh daripadanya sudah saya ambil semalam.

Saya pantas turun tanpa toleh ke belakang. Saya tidak ceritakan perkara tersebut kepada rakan-rakan lain kerana tidak mahu mereka jadi lebih takut dan gusar. Cukuplah cerita yang mereka tahu sahaja.

Sepanjang perjalanan turun hati saya masih berkata-kata. Tiga perkara yang masih menjadi persoalan di minda iaitu jeritan di waktu petang, hilaian di waktu malam serta longgokan kayu-kayu yang saya lihat sebentar tadi. Masih tiada jawapan…-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN