Kata Hati: Hampir, namun terlepas lagi - Utusan Malaysia

Kata Hati: Hampir, namun terlepas lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA dua orang sangat popular menyatakan secara terbuka percintaan mereka, ia akan menjadi sebuah jenama. Macam artis-artis sekarang, akan lahir hashtag gabungan nama yang diberikan peminat, doa-doa, atau video suntingan dengan lagu paling romantis memaparkan kemesraan pasangan yang dianggap sebagai ‘vitamin’.

Jika jenama makin kukuh, makin banyak syarikat besar akan mengejar mereka menjadi duta, atau tawaran promosi produk yang semestinya bayaran juta-juta. Percintaan akan menjadi sebuah pekerjaan, semakin melelahkan, makin banyak gaduh dan tidak sehaluan.

Tapi filem Kata Hati memberikan sebuah sebab nyata kepada pelakon yang dipanggil ‘Malaysian sweetheart’ iaitu Ayra Natasha apabila kekasihnya juga selebriti Zayn Mikhail bercumbu dengan wanita lain di sebuah majlis anugerah.

Curang ialah sebab paling kuat untuk seseorang berambus daripada percintaan, namun situasi ini tak mudah bagi para selebriti yang terikat kontrak dengan jenama besar. Duit pertama, hati yang kedua.

Ayra, dalam gaun dianggap kampung oleh artis seangkatan (tapi saya setuju) melarikan diri membawa hati yang berkecai, masuk ke dalam e-hailing yang dipandu seorang lelaki sederhana bernama Imran, kereta bergerak seolah petanda bahawa takdir akan membawa mereka menempuh perjalanan baharu selepas itu.

Dalam sebuah filem romantik, titik pertemuan karakter iaitu ‘meet cute’ adalah perkara yang sangat mustahak kerana bakal menentukan nada filem. Ia juga pengenalan kepada spark, keserasian antara dua karakter kepada penonton. Walaupun namanya ‘meet cute’ tapi boleh sahaja terjadi dalam banyak situasi yang tidak comel, termasuklah yang janggal seperti Imran dan Ayra.

Namun Kata Hati sepatutnya boleh membuktikan kepada kita bahawa ada kasih begitu dalam dan kuat boleh lahir daripada sepasang mata curiga seperti Ayra. Bahawa lelaki sederhana seperti Imran boleh menawarkan sesuatu lebih besar iaitu rasa selamat, yakin, juga tekad perjuangan atas nama cinta.

Bagi membuktikan itu, dua karakter utamanya wajib ada keupayaan memberikan keyakinan, keserasian atau pendek kata chemistry yang membuatkan penonton berdoa dalam hati ‘Tolonglah bersama, tolonglah mereka sangat secocok’.

Tapi sayang seribu kali sayang, saya tidak mendapatkan itu daripada Ayra dan Imran. Daripada kekasih, mereka lebih dilihat sebagai kawan seterusnya membawa kepada cabaran yang lebih besar iaitu memberikan sebuah rasa empati penonton kepada watak.

Sekiranya penonton tidak oleh berempati dengan kisah perjalanan cinta Ayra dan Imran, akan sukar untuk kita memberikan respons emosi yang sepatutnya menjadi kunci utama sebuah filem romantik komedi.

Kata Hati gagal memberikan bukti-bukti kukuh, momen mengesankan untuk kita percaya romansa antara Ayra dan Imran. Apa yang saya maksudkan bukanlah setakat adegan suap dumpling atau bawa kopi, tapi sebuah jeda, rasa yang dibina perlahan, halus datang dengan angau yang menjadi bata-bata kepada cinta. Oleh sebab ia tiada, maka penonton akan dikurung rasa janggal melihat keserasian yang dipaksa dan sejujurnya ia sedikit menyiksa.

Namun, saya harus memuji filem ini banyak diselamatkan oleh kehadiran pelakon pembantunya. Setidaknya kita dapat komedinya dengan dialog solid, karakter penyeri, lakonan meyakinkan daripada Taqim Zaki (Khalil), Norreen Iman (Kak Long) dan Scha Al-Yahya (Maya) yang menjadi sebab lain saya bertahan di kerusi panggung.

Kata Hati dilihat menyindir banyak hal dalam industri juga membawa cerita ‘filem di dalam filem’. Aziz M Osman juga menjadi pengarah dalam Ops: Kata Hati yang saya tebak homajnya kepada Femina yang juga menjadi salah satu filem romantik diingati dalam sejarah perfileman negara. Filem ini menyindir kebergantungan produksi kepada ‘angin’ pelakon popular dan lain-lain.

Bagaimanapun saya perlu akui, Kata Hati ibarat terkejar-kejar cuba melunaskan plot tanpa membuatkan kita bernafas. Oleh sebab itu, wish-fulfillment ending atau pengakhiran bahagia dengan memenuhi angan-angan, formula diguna pakai filem romantik dilihat sebagai tiba-tiba, sebelum sempat kita mencerna banyak perkara.

Kita kekurangan filem romantik komedi di panggung. Kata Hati boleh menjadi semacam ‘tempat rehat’ atau harapan tanda aras baharu romcom selepas berturut-turut naskhah seram dan aksi bertarung di panggung. Namun sekali lagi, kita terlepas kesempatan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN