Cari ilmu agama di media sosial, kebenaran jangan cicir

Cari ilmu agama di media sosial, kebenaran jangan cicir

HANIF HARON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA sosial secara umumnya telah mengubah landskap penyebaran ilmu agama secara besar-besaran sehingga masyarakat kini boleh mengakses pelbagai bentuk pengajian hanya melalui telefon pintar.

Menurut Pengerusi Yayasan Darul Hadis Al-Filfilaniyyah dan Mudir Am Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang, Hanif Haron perubahan tersebut membuka ruang yang luas kepada masyarakat untuk mendekati ilmu agama.

Katanya, jika dahulu masyarakat perlu hadir ke masjid, pondok atau institusi pengajian bagi mendapatkan ilmu, kini ribuan kuliah dan perbincangan agama boleh diakses dengan mudah melalui platform digital.

“Perubahan ini mempunyai dua wajah berbeza. Dari sudut positif, akses kepada ilmu menjadi lebih mudah dan pantas.

“Namun, perkembangan itu turut membawa cabaran baharu apabila wujud kecenderungan memahami isu agama yang kompleks melalui video pendek atau potongan klip yang terpisah daripada konteks asal,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, fenomena yang boleh disifatkan sebagai ilmu ‘segera’ itu berpotensi menjejaskan kefahaman agama jika tidak disertai proses pembelajaran yang betul.

Katanya, dalam tradisi Islam, kefahaman agama tidak dibina hanya melalui maklumat semata-mata. Sebaliknya, jelas beliau, ia terbentuk menerusi proses pembelajaran yang berterusan di bawah bimbingan guru yang berautoriti.

“Allah SWT memerintahkan agar umat merujuk kepada ahli ilmu apabila tidak mengetahui sesuatu perkara,” katanya.

Dalam pada itu, Hanif mengakui media sosial memberi kesan positif yang besar terhadap usaha dakwah dan peningkatan kesedaran agama dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, ramai individu mula mengenali al-Quran, hadis, sirah serta pelbagai cabang ilmu agama menerusi kandungan digital yang disampaikan secara kreatif dan mudah difahami.

Katanya, media sosial juga berjaya mendekatkan institusi agama dengan masyarakat melalui penyebaran program kuliah, pengajian kitab, aktiviti masjid dan gerakan kebajikan secara lebih pantas.

Menurut beliau, perkembangan itu turut membantu mengembalikan minat sebahagian generasi muda terhadap agama selepas sekian lama mereka dianggap jauh daripada institusi tradisional keilmuan Islam.

 

Hanif Haron
Umur: 40 tahun
Jawatan: Pengerusi Yayasan Darul Hadis Al-Filfilaniyyah
Mudir Am, Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang.

 

Mengulas lambakan maklumat agama di media sosial, Hanif berkata, cabaran terbesar pada masa kini bukan kekurangan maklumat tetapi lambakan maklumat.

Sehubungan itu, katanya, kemampuan menilai sumber lebih penting berbanding kemampuan mencari maklumat.

Mengulas fenomena penceramah, pendakwah dan ‘ustaz segera’ di media sosial pula, beliau berkata, keadaan itu memberi kesan tertentu apabila masyarakat mula mengukur autoriti berdasarkan populariti.

Katanya, dalam sejarah Islam, seseorang diiktiraf sebagai ulama kerana keluasan ilmu, ketekunan menuntut ilmu serta pengiktirafan para guru.

Menurut beliau, perkara yang lebih membimbangkan adalah apabila isu melibatkan akidah, fiqh dan fatwa dibincangkan oleh individu yang tidak mempunyai asas ilmu mencukupi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kehadiran ramai pendakwah bukanlah satu masalah sekiranya mereka memahami batas kepakaran masing-masing serta sentiasa merujuk kepada ulama dan institusi berautoriti.

Hanif berkata, pihak berkuasa agama berdepan cabaran besar dalam menangani penyebaran ajaran atau fahaman yang bercanggah dengan Islam di platform digital.

Menurutnya, maklumat yang salah boleh menjadi tular dalam tempoh beberapa jam sedangkan penjelasan yang benar memerlukan penelitian dan kajian yang teliti.

Katanya, dunia digital juga mendedahkan masyarakat kepada pelbagai fahaman dan pendekatan agama dari seluruh dunia yang tidak semestinya sesuai dengan konteks tempatan.

Beliau turut menjelaskan bahawa algoritma media sosial mempunyai pengaruh besar dalam membentuk cara berfikir pengguna kerana kandungan yang sama akan terus dipaparkan berdasarkan kecenderungan tontonan mereka.

Justeru, katanya, ibu bapa, institusi pendidikan dan masjid perlu memainkan peranan bersama dalam membimbing masyarakat supaya lebih celik media, mampu menilai maklumat secara kritis dan menggunakan media sosial secara bijak serta bertanggungjawab.

Hanif berkata, usaha memastikan media sosial menjadi medium penyebaran ilmu agama yang beretika perlu bermula dengan mengembalikan budaya amanah dalam penyampaian ilmu, di samping memperbanyakkan kandungan berkualiti yang berlandaskan sumber sahih agar masyarakat memperoleh ilmu yang benar, difahami dengan betul dan diamalkan dengan penuh hikmah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN