MANCHESTER: Pengurusan tertinggi Manchester United dilaporkan berbalah sesama sendiri sama ada mahu melantik Erik Ten Hag atau Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu pasukan.
Ten Hag, 52, yang kini membimbing Ajax dan pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Pochettino, 50, menjadi pilihan utama untuk menggantikan Ralf Rangnick sebaik sahaja musim ini berakhir.
Memasuki minggu-minggu terakhir musim, Red Devils yang mengharungi tahun kelima tanpa trofi, iaitu rekod terburuk dalam tempoh 41 tahun perlu membuat keputusan paling penting bagi merubah nasib mereka.
Lebih memburukkan keadaan, ketika saingan Liga Perdana Inggeris berbaki sembilan perlawanan, mereka berisiko gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.
United kini menduduki tangga keenam, empat mata di belakang Arsenal yang memiliki kelebihan satu perlawanan.

Menurut akhbar Britain, Independent, pemilihan pengurus baharu United mungkin tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat kerana ahli lembaga kelab bercanggah pendapat sama ada mahu memilih Ten Hag atau Pochettino.
Pengurus Sepanyol, Luis Enrique sebelum ini turut berada dalam senarai calon pilihan, namun bekas bos Barcelona itu menyatakan hasratnya untuk mengendali skuad kebangsaan pada Piala Dunia di Qatar, November ini menyebabkan namanya digugurkan.
Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel dan Julen Lopetegui dari Seville juga disebut-sebut sebagai calon berpotensi, namun kedua-dua kelab dilihat tidak akan melepaskan mereka.
Ten Hag dianggap calon paling tepat daripada segi bajet United kerana Pochettino dilaporkan meminta 25 juta pound (RM138 juta) jika kelab itu berjaya meyakinkannya untuk beralih dari Parc des Princes ke Old Trafford. – AGENSI