PETALING JAYA: Laporan daripada Penilai Pengadil mendapati terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan, termasuk membatalkan jaringan Sri Pahang ketika menentang Kedah Darul Aman, kelmarin.
Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata, biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada Sri Pahang, pihaknya telah melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video, dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan.
“Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Ketua Jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel merasakan pasukannya seakan-akan ‘dirompak’ selepas kalah 1-0 kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman.
Dalam perlawanan itu, Sri Pahang menghasilkan gol menerusi Johan Martial pada minit ke-80, namun dibatalkan pengadil, Mohd. Hasrol Mohd. Amir kerana didakwa terdapat kekasaran dilakukan.

Turut mengundang kemarahan Gamel ialah apabila percubaan pemain Tok Gajah pada minit-minit terakhir perlawanan gagal dikesan pengadil walaupun dia mendakwa bola sudah melepasi garisan gol sepenuhnya sebelum ditanduk keluar oleh pemain Kedah, Azamuddin Akil.
Selain itu kata Abang Zulkarnain, tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam perlawanan membabitkan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bola Sepak Cheras.
“Laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj.
“FAM tidak menerima sebarang surat aduan daripada Kuala Lumpur City FC.” katanya.
Dalam pada itu katanya, laporan daripada Penilai Pengadil juga mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab ketika menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Selasa lalu.
“FAM telah menerima surat aduan daripada Selangor pada Rabu lalu dan sudah pun membalas surat berkenaan kelmarin,” katanya. – UTUSAN ONLINE