KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menganjurkan Anugerah Media Perkeso 2025 iLINDUNGu bagi menghargai sumbangan pengamal media dalam memperkukuh kesedaran rakyat terhadap perlindungan sosial.
Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, majlis itu sebagai pengiktirafan kepada media yang menjadi jambatan penting menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar serta inisiatif agensi berkenaan.
“Anugerah ini bukti penghargaan Perkeso terhadap peranan media dalam membantu rakyat memahami hak dan manfaat perlindungan sosial,” katanya pada majlis malam ini.
Katanya sejak penubuhan pada 1969, lebih 300,000 liputan media direkodkan sejak 2020, mencerminkan hubungan erat antara Perkeso dan dunia kewartawanan.
“Laporan mengenai pekerja dibantu dan penerima manfaat menjadi nadi perjuangan Perkeso dalam membawa kisah kejayaan kepada rakyat,” katanya.
Tema penganjuran tahun ini menonjolkan aspek Return to Work (RTW), LINDUNG Kendiri, LINDUNG Kasih dan kesejahteraan pekerja, selaras dengan usaha membina sistem perlindungan sosial inklusif dan mampan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada pemenang kategori media cetak, elektronik dan digital serta persembahan khas bertemakan semangat LINDUNGu Semua.
Majlis yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, bagi menyerikan acara yang meraikan dedikasi para wartawan, jurugambar dan editor dari seluruh negara. – UTUSAN










