Apa nasib ahli farmasi kontrak?

Apa nasib ahli farmasi kontrak?

AMRAHI BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas le­bih enam tahun dibelenggu ketidakpastian kerjaya, ahli farmasi kontrak mahu laluan jelas ke jawatan tetap susulan pengumuman pelantikan lebih 9,000 doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Amrahi Buang berkata, nasib golongan itu perlu diberi perhatian bagi menjamin masa depan mereka dalam perkhidmatan kesihatan awam.

Katanya, ratusan ahli farmasi kontrak berkhidmat bersama profesional kesihatan lain di hospital awam, klinik kesihatan dan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka memikul tanggungjawab penting dalam pengurusan ubat, perkhidmatan farmasi klinikal, keselamatan ubat dan pengurusan penggunaan antimikrob secara berhemah, selain memastikan ubat digunakan dengan selamat dan berkesan.

“Namun, ramai masih berdepan ketidakpastian mengenai pelantikan tetap, perkembangan kerjaya dan masa depan jangka panjang mereka dalam perkhidmatan kesihatan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, kerajaan mengumumkan isu doktor kontrak akan dinoktahkan menerusi pelantikan ke jawatan tetap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak 2023, kerajaan telah melantik lebih 15,000 doktor kontrak secara tetap termasuk 4,000 orang pada tahun ini.

Beliau berkata, menerusi langkah itu, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah selepas ini akan ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan.

Sehubungan itu, Amrahi menggesa kerajaan dan KKM memperjelaskan status ahli farmasi kontrak susulan Belanjawan 2027 serta menyediakan laluan yang jelas bagi mereka yang masih menunggu pelantikan tetap.

“Walaupun keperluan tenaga kerja dan mekanisme pelantikan mungkin berbeza antara profesion kesihatan, perbezaan itu tidak seharusnya menyebabkan ahli farmasi kontrak terus berada dalam ketidakpastian.

“Ahli farmasi yang telah berkhidmat selama bertahun-tahun dalam sistem kesihatan awam berhak mendapat laluan yang telus, adil dan mampan ke arah pekerjaan jangka panjang,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu memberikan pengesahan jelas mengenai perancangan untuk ahli farmasi kontrak, termasuk mereka yang sedang berkhidmat, berada dalam senarai simpanan dan telah menamatkan perkhidmatan kontrak.

Selain itu, katanya, garis masa dan mekanisme yang telus bagi pengambilan serta pelantikan tetap ahli farmasi yang layak perlu disediakan, di samping libat urus yang bermakna dengan profesion farmasi untuk menentukan keperluan tenaga kerja jangka panjang KKM.

“MPS menyokong usaha kerajaan memperkukuh dan menstabilkan tenaga kerja kesihatan negara, namun penyelesaian isu petugas kesihatan kontrak belum boleh dianggap lengkap sekiranya ahli farmasi yang menghadapi ketidakpastian sama masih tidak mempunyai laluan jelas untuk masa depan mereka.

“Ini bukan tuntutan untuk mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya seruan supaya keadilan, ketelusan dan pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada setiap profesion kesihatan yang menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini