KUALA LUMPUR: Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dijangka berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Januari 2026 selepas diwartakan pada 22 Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Akta 866 belum dapat dikuatkuasakan buat masa ini kerana Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih dalam proses menggubal 10 perundangan subsidiari di bawah seksyen 81 akta tersebut.
“Akta ini merupakan instrumen penting untuk meningkatkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
“Ia mengawal selia kandungan memudaratkan serta menetapkan kewajipan dan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan aplikasi, aplikasi kandungan dan rangkaian,” katanya ketika sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina berkata, usaha merangka akta berkenaan diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri bersama Kementerian Komunikasi bagi memastikan ekosistem digital negara lebih selamat selaras peningkatan ancaman dan penyebaran kandungan berbahaya dalam talian.
Katanya, meskipun Akta 866 berada di bawah bidang kuasa Menteri Komunikasi, struktur pelaksanaannya memperuntukkan penubuhan sebuah jawatankuasa berasingan dan neutral yang akan menasihati kerajaan mengenai hal ehwal keselamatan dalam talian.
“Di sinilah peranan menteri yang dipertanggungjawabkan dengan undang-undang untuk memastikan ketelusan, semak dan imbang, khususnya dalam aspek yang menyentuh hak asasi dan kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
“Pelaksanaan akta berkenaan perlu dibuat secara teliti dan bertanggungjawab kerana ia membabitkan keseimbangan antara keselamatan dalam talian, kebebasan bersuara serta perlindungan hak pengguna,” katanya. – UTUSAN










