Pasang CCTV di kawasan sempadan berpagar, kekang penyeludupan migran - Utusan Malaysia

Pasang CCTV di kawasan sempadan berpagar, kekang penyeludupan migran

MUHAMMAD Abdul Halim (tiga dari kiri) membuat gimik pelancaran Program Town Hall Discussion Bersama Ketua Polis Perlis Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan sempadan berpagar sebagai salah satu langkah pemantauan dan penguatkuasaan khususnya mengekang penyeludupan migran.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata,  kajian secara berterusan juga sentiasa dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi terkini sindiket penyeludupan yang berubah-ubah.

Katanya, polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah (D3) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lain termasuk dari Thailand bagi mengekang kegiatan tersebut.

“Sindiket penyeludupan migran ini juga dikesan menggunakan pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan jenis sedan bergantung kepada jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawa.

“Mereka juga menggunakan taktik terancang bagi mengaburi mata pihak berkuasa di sempadan khususnya sekitar kawasan seperti Padang Besar dan Chuping.

“Antara taktik yang sering digunapakai adalah dengan menggunakan kenderaan pemerhati bagi memeriksa laluan terlebih dahulu dan memastikan tiada kehadiran pihak penguatkuasa di kawasan tersebut. Selain itu, penggunaan teknologi terkini seperti dron bagi memantau kawasan bermula dari sempadan sehingga proses penyerahan migran kepada transporter yang akan membawa mereka ke destinasi ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas Program Town Hall Discussion Bersama Ketua Polis Perlis Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Muhammad berkata, berdasarkan statistik, sejumlah 33 kes di bawah Akta Antipemerdagangan orang (ATIPSOM) direkodkan di negeri ini bagi tempoh bermula sejak tahun lalu sehingga Oktober lepas.

Ujarnya, secara keseluruhan, seramai 52 tekong dan 156 migran telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan ditangkap bagi tempoh sama.

“Daripada 33 kes yang dibuka, sebanyak 22 telah dituduh, sembilan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) manakala satu kes lagi masih dalam siasatan. Individu-individu yang bertindak sebagai tekong dikenalpasti terdiri daripada warga tempatan, Thailand, Myanmar dan Kemboja.

“Malah, kegiatan ini juga dipercayai didalangi sindiket dari Thailand yang turut terlibat dalam penyeludupan migran dan dadah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN