fbpx

Eain Yow, Aifa kandas di suku akhir Terbuka Manchester

Joelle King memberi pengajaran berguna buat Aifa Azman apabila menumpaskan pemain negara itu pada suku akhir Terbuka Manchester hari ini. - IHSAN MANCHESTER OPEN SQUASH

PETALING JAYA: Langkah Ng Eain Yow dan Aifa Azman tersekat di suku akhir setelah kedua-dua pemain negara itu tunduk kepada lawan yang lebih berpengalaman pada suku akhir kejohanan skuasy Terbuka Manchester di Pusat Skuasy Nasional, Manchester, England hari ini.

Pemain veteran New Zealand yang juga pilihan kedua kejohanan, Joelle King mudah memberi pengajaran berguna buat Aifa, 20, apabila mudah menewaskan pemain muda negara itu 11-3, 11-5, 11-6 hanya dalam masa 23 minit.

Pengalaman ternyata memisahkan permainan antara kedua-duanya, apabila pemain No. 5 dunia, King mengakui tentang hakikat tersebut.

JOELLE King (kanan) bukan tandingan Aifa Azman apabila mudah menyingkirkan pemain muda negara itu pada Terbuka Manchester hari ini. – IHSAN MANCHESTER OPEN SQUASH

“Aifa merupakan pemain muda yang sedang meningkat naik. Dia telahpun memenangi perlawanan dalam pertandingan besar dan saya tahu Aifa sudah tentu bersemangat untuk masuk ke gelanggang menewaskan saya,” katanya.

Menanti pemain berusia 34 tahun itu di separuh akhir ialah pencabar dari Belgium, Nele Gilis, 26, yang dilihat berada pada prestasi terbaiknya pada pertandingan tersebut dan pemain No. 12 dunia itu menyingkirkan Emily Whitlock dari Wales 11-5, 11-3, 11-9 di suku akhir.

MOHAMED ElShorbagy memujuk Ng Eain Yow selepas menewaskan pemain negara itu pada suku akhir Terbuka Manchester hari ini. – IHSAN MANCHESTER OPEN SQUASH

Seorang lagi wakil negara, Eain Yow turut terkandas di peringkat lapan terbaik apabila dia tunduk kepada jaguh Mesir yang menghuni ranking No. 3 dunia, Mohamed ElShorbagy menerusi kekalahan 11-7, 8-11, 11-13, 5-11 dalam masa 53 minit.

Eain Yow yang merupakan rakan sepelatih ElShorbagy di Bristol berusaha memberikan tentangan sengit untuk memburu tempat ke separuh akhir pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Perak PSA itu apabila menang dalam set pembukaan.

Namun, pengalaman luas yang dimiliki bekas pemain No. 1 dunia itu gagal diatasi Eain Yow yang akur apabila tewas dalam tiga set berikutnya sekalipun pemain berusia 24 tahun itu tidak memberi laluan mudah kepada ElShorbagy.

“Apabila bermain dengan seseorang yang anda pernah berlatih bersamanya, anda akan berdepan dua situasi iaitu selesa dan tidak selesa ketika beraksi menentangnya.

“Sudah tentu hari ini (semalam), ia sangat tidak selesa. Eain Yow berjaya memberikan masalah kepada saya. Bagi seorang pemain muda sepertinya yang sanggup meninggalkan negara kelahirannya hanya untuk memperbaiki prestasi, sudah tentu anda mahu melihat perbezaannya selepas itu.

“Dia merupakan pemain yang saya ambil berat sejak hari pertama ketibaannya di Bristol. Eain Yow antara pemain yang memiliki tahap kecergasan serta ketahanan mental yang baik dan kelebihan itu yang dipamerkannya terutama dalam aksi pertamanya, kelmarin menentang lawan yang sangat sukar,” kata El Shorbagy.

Pemain berusia 31 tahun itu akan bertemu bekas juara dunia yang juga rakan senegaranya, Karim Abdel Gawad pada separuh akhir. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!