PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa pada 13 Mei 2026.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu telah dipersembahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam.
Katanya, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].
“Kerajaan berkeyakinan bahawa dengan pengalaman luas serta integriti yang tinggi, beliau akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Ketika ini, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM disandang Tan Sri Azam Baki yang kontraknya dijadualkan tamat 12 Mei ini.
Azam mula menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan pada 2 Mac 2020, selepas hanya kira-kira 10 bulan memegang jawatan tersebut. Beliau dilantik semula sebanyak tiga kali berturut-turut, setiap kali untuk tempoh setahun.
Jawatan berkenaan menarik perhatian umum kerana SPRM menjadi badan penguatkuasaan utama negara dalam pembanterasan rasuah serta pemulihan aset negara yang hilang akibat penyelewengan besar-besaran. – UTUSAN










