Anak Melayu imam Masjid Pusat Seoul

Anak Melayu imam Masjid Pusat Seoul

PENULIS merakamkan kenangan di depan Masjid Pusat Seoul.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK sabar rasanya mahu menjejakkan kaki di Itaewon sewaktu berkunjung ke Seoul, baru-baru ini. Azam saya mahu mengunjungi satu-satunya masjid juga yang terbesar di ibu negara Korea Selatan, iaitu Masjid Pusat Seoul.

Saya mahu merasai sendiri pengalaman solat jemaah berimamkan orang Korea. Berjalan kaki dari stesen kereta api bawah tanah menuju masjid, dapat dirasai susana sekeliling bertukar secara perlahan-lahan.

Daripada kedai moden dan pusat hiburan, semakin menghampiri masjid, semakin banyak premis menjual produk halal termasuk restoran yang menyajikan masakan Asia Barat, Afrika serta Asia seperti India, Pakistan dan Indonesia ditemui.

Masjid Pusat Seoul terletak di puncak bukit di satu kawasan dalam daerah Yangson yang merupakan lokasi pelancongan mesra Muslim. Kedudukan tersebut membolehkan dua menara masjid kelihatan tersergam indah dari jauh.

Nampak terang benderang disuluh lampu, berdiri megah menghadap bandar Itaewon. Pemandangan sebegini boleh dianggap unik dan luar biasa memandangkan bumi Korea Selatan dihuni ramai penganut Kristian dan Buddha.

Selepas berjalan sejauh kira-kira 500 meter, saya tiba di pintu gerbang masjid. Kaligrafi kalimah syahadat diterangi lampu neon berwarna hijau menyambut setiap pengunjung.

Saya memanjat tangga perlahan-lahan. Tidak semena-semena mata ini terpaut pada papan tanda di anak tangga bertulisan Inggeris dan Korea dengan perkataan Stairway to Heaven (tangga ke syurga).

PAPAN tanda bertulisan Inggeris dan Korea dengan perkataan Stairway to Heaven di anak tangga masjid.

Secara tiba-tiba mengembalikan nostalgia sewaktu zaman remaja dahulu. Ia mengingatkan saya pada judul sama sebuah lagu nyanyian kumpulan rock Led Zeppelin.

Ya, Stairway to Heaven antara lagu siulan saya pada waktu itu. Rasa kelakar pun ada juga.

Mana tidaknya, dalam banyak-banyak tempat, masjid boleh menemukan saya dengan perkara tidak disangka-sangka itu! Tidak lama kemudian azan Isyak berkumandang dari corong masjid.

Bunyinya tidaklah sekuat seperti surau atau masjid di tempat kita. Namun, cukuplah untuk mengajak jemaah dalam radius kira-kira 50 meter untuk datang menunaikan solat.

Saya difahamkan pernah ada bantahan daripada penduduk sekitar mengenai bunyi kuat azan yang dikatakan mengganggu mereka. Kata mereka, kalau azan boleh kuat, kenapa gereja dan tokong tidak boleh diberi kebenaran sama semasa mengadakan upacara keagamaan.

Maka sebab itulah suara azan diperlahankan sedikit. Bagaimanapun, kelonggaran diberikan sewaktu solat Jumaat dan Hari Raya Aidilfitri.

Memasuki ruang solat, kelihatan dinding dan siling dihiasi seni bina Asia Barat dengan hamparan permaidani merah. Keluasaannya dianggarkan mampu menampung 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Dinding dan siling di ruang solat dihiasi seni bina Asia Barat.

Saya menunaikan solat Isyak bersama jemaah lain yang kebanyakannya penghuni sekitar Itaewon, juga pelancong. Alunan bacaan al-Fatihah dan surah al-Quran oleh imam sedap didengar, lancar, tidak pelat seperti orang Korea.

Selepas habis doa, saya menghampiri imam untuk bersalam sambil memperkenalkan diri.

Tidak sangka imam yang iras-iras jejaka Korea atau oppa itu rupa-rupanya orang Melayu berasal dari Kuala Kubu Bharu!

Imtiyaz Abd. Ghafar, 24, merupakan Imam II Masjid Pusat Seoul. Katanya, sudah tiga tahun dia memegang jawatan tersebut.

IMTIYAZ ABD. GHAFAR

“Imam I ialah orang Korea manakala Imam III dari Indonesia.

“Kami dilantik sebagai imam oleh Persekutuan Muslim Korea (KMF), atau kalau di tanah air macam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” jelasnya mesra.

Menurutnya, kewujudan masjid berkenaan turut berdepan cabaran. Antaranya, ada ura-ura Masjid Pusat Seoul mahu diambil alih untuk dibangunkan kondominium dan apartment.

Namun jelas Imtiyaz, status tanahnya yang dimiliki kerajaan Turkiye menyelamatkan masjid itu. Turkiye dan Korea Selatan sememangnya mempunyai hubungan diplomatik yang cukup erat sejak era Perang Korea lagi.

Pembabitan tentera Turkiye membantu Korea Selatan menentang Korea Utara dalam perang saudara itu dari 1950 hingga 1953 telah membentuk formasi perikatan antara kedua-dua negara sehingga kini.

Saya meninjau di sekeliling masjid. Ada bangunan yang menempatkan Ibu pejabat KMF.

Badan itu berperanan mengurus hal ehwal agama, pendidikan dan komuniti bagi umat Islam di Korea Selatan.

ITAEWON merupakan lokasi pelancongan mesra Muslim.

KMF juga satu-satunya pihak berkuasa yang menyediakan pensijilan halal bagi restoran dan produk selain menjalankan kerja-kerja dakwah, menerbitkan bahan-bahan Islam dalam bahasa Korea serta mengendalikan masjid dan pusat pendidikan.

Juga ada sebuah lagi bangunan yang dijadikan sekolah selain berfungsi sebagai institut penyelidikan. Pembinaan Masjid Pusat Seoul bermula pada 1974 dengan sumbangan dana daripada negara-negara Islam.

Kerajaan Korea Selatan pula menyerahkan tanah seluas 5,000 meter persegi. Pada 21 Mei 1976, masjid itu secara rasminya dibuka.

Selepas kira-kira sejam meluangkan masa, saya meninggalkan Masjid Pusat Seoul dengan perasaan bercampur baur. Syukur kerana dapat menziarahinya.

Sebak sebab syiar Islam masih kukuh di bumi Korea Selatan. Juga bangga kerana anak muda kita menjadi imam di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN