Jangan politikan isu bayaran royalti petroleum - Utusan Malaysia

Jangan politikan isu bayaran royalti petroleum

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim (dua dari kanan) bertemu dengan sebahagian pekebun sayur di Khantan yang memohon tanah baharu untuk diusahakan di Medan Klebang Restu, Chemor di Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dakwaan bayaran royalti petroleum tidak disalurkan ke akaun negeri Terengganu secara kumalatif sejak 2023 tidak tepat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebaliknya sebahagian dana tersebut telah digunakan bagi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi kepada rakyat.

Menurutnya, penafsiran pertama yang perlu diubah ialah bayaran tersebut bukan berbentuk royalti tetapi dana khas kerajaan Persekutuan kepada Terengganu.

“Kita ingin pastikan bahawa duit-duit ini tidak hanya digunakan untuk membiayai gaji (kakitangan kerajaan negeri) tetapi diselaras bagi projek-projek yang dapat memberi faedah kepada rakyat.

“Kebanyakan (projek) itu dapat dipantau dan dilaksanakan. Kita nak pastikan tiada masalah, ketirisan dan keburukan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita di Medan Klebang Restu, Chemor di sini semalam.

Terdahulu, Muhammad Kamil mengadakan pertemuan dengan sebahagian pekebun sayur di Khantan, Chemor yang memohon tanah baharu untuk diusahakan.

Katanya, pihak tertentu tidak perlu menjadikan isu tersebut untuk kepentingan dan survival politik tanpa mengetahui asas sebenarnya.

“Ada orang cuba manipulasi isu ini untuk menyerang, mempertikaikan mekanisme ini. Cuma saya nak sebut bahawa, kaedah ini memang digunakan sebelum ini, sudah dijalankan lama.

“Kalau nak dikatakan, waktu Pas dalam kerajaan Pusat mengapa tak selesai. Jangan tuduh kita seolah-seolah tidak mencerminkan semangat Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, manfaat dana khas tersebut ialah dapat dipulangkan secara terus kepada rakyat.

Media melaporkan sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak RM2.25 bilion bayaran royalti petroleum tidak disalurkan ke akaun kerajaan negeri secara kumulatif sejak 2023.

Menurutnya, bagi tahun 2025 sahaja, kira-kira 52 peratus daripada jumlah royalti yang direkodkan gagal diterima kerajaan negeri.

Jelasnya, daripada keseluruhan RM1.37 bilion royalti petroleum bagi tahun berkenaan, hanya RM659 juta disalurkan secara terus, manakala baki RM713 juta tidak dimasukkan ke akaun kerajaan negeri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN